kowachee

PTURI Amani, atau lebih dikenali sebagai Kowachee, satu nama yang tidak asing dalam dunia hiburan. Kowachee bermula sebagai atlet gimnastik artistik Pelapis Selangor pada usia 4 tahun dan mewakili negeri tersebut sehingga dia berusia 8 tahun.

Dia kemudian secara rasmi memulakan karier sebagai penari, yang membawanya ke banyak acara lantas menjadikannya wajah yang popular dalam beberapa rancangan televisyen sebelum dinobatkan sebagai juara Ceria Megastar pada tahun lalu.

Keperibadiannya yang ceria berserta kemahiran menari yang mengagumkan menjadikan Kowachee sangat disukai di Instagram, dengan hampir 70,000 pengikut sehingga kini!

Penghibur berbakat ini amat teruja untuk menyambut 2021 dengan pelancaran single debutnya, Pap Tapom, yang dihasilkan dan ditulis oleh produser muzik terkenal di dunia, Bryan B bersama Sophia Liana iaitu salah seorang ahli kumpulan De Fam.

Kowachee sengaja memilih judul Pap Tapom kerana mengingatkannya kepada bunyi satu permainan yang biasa dimainkan dengan tangan ketika kecil.

“Kebanyakan orang mengenali saya sebagai seorang penari, tetapi sebenarnya saya juga suka rap sebanyak mana saya suka menari dan membuat persembahan di atas pentas.

“Kami memutuskan untuk memilih Pap Tapom sebagai single pertama kerana bunyinya mengingatkan saya pada satu permainan yang biasa kita mainkan dengan tangan ketika kecil dan ia juga kedengaran seperti langkah-langkah yang kita buat ketika kita menari.

“Saya berterima kasih kepada Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia kerana mempercayai saya dan untuk semua usaha keras yang dilakukan oleh semua orang.

“Saya harap semua orang akan suka lagu baharu saya sepertimana saya suka membuatnya bersama Uncle Bryan dan Kak Sophia,” katanya yang merupakan artis rakaman termuda dibawah naungan Def Jam.

Kowachee tak hanya berbakat dalam tarian tetapi turut bercita-cita mahu bergelar penyanyi

Menurut Bryan, dia berbangga dan teruja bekerjasama dengan Kowachee yang biarpun masih kecil namun berbakat besar dalam dunia seni.

“Pada tahap profesional, Kowachee adalah artis rakaman termuda yang pernah saya bekerjasama.

“Dia baharu berusia 11 tahun ketika merakamkan lagu tersebut dan saya masih terfikir betapa berbakatnya dia. Hanya beberapa orang saja yang dilahirkan untuk menjadi penghibur, dan Kowachee adalah salah seorang daripada mereka,” kata Bryan.

Sementara itu, Sophia selaku mentor rap kepada Kowachee, menambah bahawa mereka ingin menghasilkan lagu yang sesuai dengan usia Kowachee.

“Kami mahu lagu ini menjadi sesuatu yang menyeronokkan, yang dapat anda nikmati, dan yang paling penting, ia mencerminkan tenaganya yang bersemangat,” ujar Sophia.

Pap Tapom kini boleh didengari di semua pelantar digital Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, YouTube Music dan Deezer, sementara video lirik pula boleh ditonton di saluran YouTube KowacheeVEVO.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi