Agaknya sudah berapa lama kita tidak tengok biji benih tumbuh? Mungkin juga ada yang kali terakhir melihatnya sewaktu sekolah rendah ketika subjek sains. Kata Amr Khaled, pakar motivasi Mesir, melihat benih tumbuh bagai melihat satu harapan baru yang muncul di dalam kehidupan setiap hari.
Benar! Melihat benih tumbuh satu perkara yang menggembirakan. Lihatlah anak-anak kita yang teruja menantikan kacang hijau yang disemai di dalam kapas basah bercambah. Hari pertama kulit kacang hijau akan pecah, esoknya keluarlah tunas kacang hijau yang seperti cangkuk.

Lalu hari berikutnya keluar daun. Hari demi hari ia akan membesar hingga menjadi pokok yang akhirnya akan mengeluarkan buah yang sama.
Sebenarnya bukan hendak cerita tentang benih kacang hijau, tetapi rahsia di sebalik proses percambahan biji benih itu adalah lebih penting.
Proses percambahan adalah salah satu proses kehidupan di muka bumi ini. Dan, ia adalah sebahagian bukti akan kekuasaan Allah mentadbir alam semesta.
Bayangkanlah bagaimana dunia ini jika tidak ada proses percambahan, maka tidak akan ada pokok yang tumbuh di muka bumi ini. Apa akan terjadi jika tiada pokok tumbuh, tidak ada proses fotosintesis yang akan berlaku.
“Tanpa fotosintesis maka oksigen tidak akan memenuhi muka bumi, yang ada hanya karbon dioksida saja. Akhirnya tidak adalah kita semua dan keturunan kita di sini.
Maha benarlah firman Allah S.W.T. di dalam surah An-Naml: 60,
“Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka yang menyeleweng daripada kebenaran (tauhid).”
Allah jelaskan di dalam ayat itu, air adalah sumber kepada kehidupan dan proses percambahan biji benih. Proses yang kita anggap mudah iaitu campak biji kacang hijau ke dalam kapas basah dan esoknya kita akan melihat benih akan mengeluarkan tunas.
Sebenarnya anak-anak kita sudah memulakan proses kehidupan yang paling rumit di dalam alam tumbuhan dan kimia kehidupan.
Air komponen utama tumbuhan
Tanpa air, biji benih tidak akan tumbuh. Kadang-kadang di kawasan tanah yang tandus, biji benih boleh tersimpan dengan baik selama bertahun-tahun. Selagi belum ada bekalan air yang mencukupi biji benih tidak akan tumbuh.
Ia akan menunggu di dalam tanah yang gersang menanti turunnya air yang cukup dari langit untuk membolehkan kulit luarnya yang keras cukup untuk melindungi embrionya dirobek.
Pun begitu, jika air terlalu banyak masalah juga. Jumlah air yang terlalu banyak akan menyebabkan benih membusuk dan tidak tumbuhlah pokok baru. Nisbah air untuk membolehkan benih tumbuh adalah satu matematik yang menakjubkan iaitu tidak boleh terlalu banyak mahupun terlalu sedikit. Ukurannya seimbang, manusia pun tidak mampu untuk mengukurnya.

Namun Allah melakukan perkara itu dengan mudah saja, semuanya ada di dalam biji benih yang hanya sebesar kepala mancis. Kemudian perhatikan pula kekuatan yang Allah letakkan pada selaput kulit biji benih, nampaknya saja kulit yang tipis tapi bagaikan perisai yang melindungi embrio agar tidak rosak. Tapi, dalam masa yang sama ia cukup lunak untuk membolehkan air menembusinya agar satu kehidupan baru boleh bermula.
Apabila air sudah meresap masuk maka terjadilah perubahan fizikal pada benih, embrio dan endosperma mula mengembang hingga merobek kulit selaputnya. Ketika itu barulah oksigen boleh dibekalkan kepada sel-sel hidup.
Dinding sel yang kering adalah telap udara iaitu tidak ada sebarang gas yang boleh menembusinya. Namun apabila dinding-dinding sel itu mula menyerap air maka oksigen dibenarkan menyerap masuk ke sel.
Bermulalah proses pernafasan yang membebaskan karbon dioksida dan menyerap oksigen. Karbon dioksida yang dibebaskan akan diserap pula oleh benih untuk memulakan percambahan. Benih hanya memerlukan 20 peratus oksigen dan 0.03 peratus karbon dioksida untuk bercambah dengan baik.

Pada waktu yang sama proses kimia yang besar terjadi di mana embrio biji benih akan mengeluarkan enzim untuk mengurai semua nutrien yang tersimpan di dalam biji. Enzim hydrolytic iaitu a-amilase akan menguraikan kanji menjadi glukosa, ribonuklease menjadi ribonukleotida, lipase menjadi asid lemak dan peptidase kepada asid amino.
Proses penguraian itu berlaku supaya sebatian tersebut menjadi partikel-partikel yang kecil untuk memudahkannya menembusi selaput dan dinding sel hingga embrio mampu menyerapnya.
Proses yang sama juga berlaku, walaupun kepada biji benih buah yang paling keras sekalipun seperti buah doum atau buah zuriat. Apabila benihnya menyerap air lalu dengan air itu juga proses kehidupan akan berlaku dan penguraian enzim akan menukarkan benda yang keras menjadi lembut dan mudah dicerna.
Selain itu air juga amat penting untuk melarutkan protoplasma sehingga boleh mengaktifkan begitu banyak proses fisiologi di dalam embrio benih seperti pencernaan, pernafasan, asimilasi dan percambahan.

Proses tersebut tidak akan berlaku secara normal sekiranya protoplasma tidak mengandungi air yang cukup. Kemudian air itu juga yang menjadi pengangkut nutrien dari endosperma (kantung embrio) ke embryonic axis untuk pembentukan protoplasma baru.
Walau bagai mana pun proses itu tidak akan terjadi tanpa adanya suhu yang sesuai. Jika biji benih berada pada suhu rendah iaitu antara 0-5 darjah Celsius, kemungkinan besar ia tidak akan dapat bercambah. Atau mungkin juga akan tumbuh tetapi menjadi tidak normal.
Begitu juga halnya dengan biji benih yang diletakkan di dalam suhu yang tinggi antara 30-40 darjah Celsius akan menyebabkannya mati. Cuaca yang panas akan menyebabkan mesin metabolisme biji menjadi tidak aktif lalu menyebabkannya busuk dan mati. Suhu yang paling sesuai adalah antara 25-35 darjah Celsius.
_______________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram