Lee Zii Jia menjulang trofi All England selepas berjaya menewaskan pemain no. 2 dunia, Victor Axelsen dalam aksi final Mac 2021.

“KAMI berdua telah memberikan yang terbaik hari ini. Terima kasih Victor Axelsen atas perlawanan yang hebat ini.”

Demikian kata pemain perseorangan lelaki badminton negara selepas berjaya membuat kejutan menewaskan jaguh Denmark, Axelsen dalam kejohanan All England, malam tadi.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah yang turut mencipta kejutan apabila berjaya memenangi kejohanan tertua dunia itu dalam hanya penampilan keduanya turut menyifatkan semangat melawan dan tidak berputus asa menjadi faktor utama kemenangan.

Sambil menyifatkan kejayaan meraih gelaran All England sebagai momen istimewa buat dirinya, Zii Jia yang menduduki tangga ke-10 dunia itu turut merasai ‘kehilangan’ sokongan penonton di Utiliti Arena, Birmingham sedikit berbeza berbanding ketika penampilan pertamanya tahun lalu.

“Saya tidak mampu menghuraikan perasaan ketika ini. Gembira, sedih dan teruja semuanya hadir pada masa yang sama.

“Kami berdua bermain dengan baik dan memberi tumpuan sepenuhnya pada setiap mata. Pada set penentuan, Axelsen agak hilang fokus dan itu memberi kelebihan kepada saya,” katanya ketika ditemu bual media rasmi sejurus selepas berjaya merangkul gelaran juara malam tadi.

Baca artikel berkaitan: Macam nak luruh jantung.. Tahniah Lee Zii Jia, All England milik Malaysia!!

Tambah atlet berusia 23 tahun itu, strateginya ketika memasuki gelanggang dalam perlawanan akhir itu hanya untuk menikmati permainan dan mencuba sehabis baik menentang pemain berpengalaman.

“Saya dah bertemu Axelsen banyak kali. Ini perlawanan keempat dan kami tahu permainan masing-masing. Kami berdua telah memberikan segalanya hari ini,” jelasnya yang sebelum itu mengejutkan pemain No. 1 dunia, Kento Momota di saingan suku akhir.

Zii Jia berjaya menutup mulut pengkritik apabila merangkul gelaran All England menerusi pertarungan dramatik yang berlanjutkan ke set penentuan.

Pilihan keenam kejohanan itu mempamerkan semangat juang tinggi dengan saling mengejar mata dan berjaya merakamkan kemenangan 30-29 di set pertama sebelum Axelsen bangkit pada set kedua apabila menang 22-20.

Aspek kecergasan dan kesungguhan Zii Jia diteruskan dalam set penentuan membuatkan Axelsen tidak berdaya menangkis serangan sekali gus merekodkan kemenangan 21-9 dan dinobatkan sebagai juara.

Kemenangan itu sekali gus melunaskan dendam Zii Jia ke atas Axelsen yang menewaskannya ketika aksi separuh akhir dalam penyertaan pertamanya tahun lalu.

Zii Jia menjadi atlet badminton perseorangan lelaki keenam negara berjaya menawan All England selepas Wong Peng Soon (1950, 1951, 1952, 1955), Datuk Eddy Choong (1953, 1954, 1956, 1957), Tan Aik Huang (1966) Muhammad Hafiz Hashim (2003) dan Datuk Lee Chong Wei (2010, 2011, 2014, 2017).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram