tidak puas hati azan

Tular di media sosial, satu klip video seorang wanita menyerang sebuah surau kerana tidak tahan laungan Azan dipasang dengan kuat. Perkongsian video tersebut mendapat jumlah tontonan berpuluh ribu dalam masa beberapa jam.

Rata-rata warga maya menunjukkan rasa marah dan tidak berpuas hati dengan wanita tersebut sedangkan dia seorang muslim yang tidak seharusnya berkelakuan begitu. Namun, seorang individu telah tampil menceritakan hal sebenar mengapa wanita tersebut datang ke surau dan meminta diperlahankan pembesar suara sewaktu azan Asar.

Hanya azan boleh dilaungkan dengan suara yang kuat.

Menurut perkongsian tersebut, bukan laungan azan yang diminta untuk diperlahankan, tetapi wanita yang merupakan seorang pensyarah meminta supaya bacaan al-Quran sewaktu Asar diperlahankan kerana pada waktu tersebut dia sedang mengendalikan kelas secara dalam talian.

Sewaktu kejadian, bacaan al-Quran yang dipasang di surau tersebut dalam keadaan maksimum sehingga mengganggu kelas yang dikendalikannya.

Jahil ilmu agama

Isu yang melibatkan bacaan al-Quran dan zikir yang dipasang melalui pembesar suara oleh ahli jawatankuasa masjid atau surau bukanlah isu baru. Kerap kali isu ini dibangkitkan oleh sebilangan masyarakat kerana sikap pihak pengurusan surau dan masjid yang tidak peka dan jahil dengan apa yang disyariatkan dalam Islam berkaitan hubungan sesama manusia atau masyarakat.

Bagi mereka, sesuatu yang baik seperti bacaan al-Quran dan zikir perlu diperdengarkan kepada umum supaya yang mendengar mendapat manfaat dari bacaan tersebut. Lagi kuat bunyi pembesar suaranya, lagi ramai yang mendengar, lagi banyak pahala yang mereka peroleh dan lagi nampak Islamlah mereka. Mungkin mereka percaya ini juga suatu dakwah dan ibadah.

Jangan membaca al-Quran dengan suara yang kuat hingga mengganggu tumpuan orang lain.

Namun begitu, Islam hanya mensyariatkan laungan azan sahaja yang perlu dikuatkan suaranya. Akan tetapi selain dari Azan, tiada nas atau dalil yang menyuruhnya apatah lagi sehingga mengganggu orang lain. Malah perbuatan tersebut dilarang keras oleh Baginda s.a.w.

Sememangnya Islam sangat menitik beratkan ketenteraman awam dipelihara sebaik mungkin. Melainkan jika terdapat sebarang pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

Sebagai umat Islam, tiada siapa yang menafikan, membaca serta mendengar bacaan al-Quran serta zikir adalah perbuatan dan ibadah yang sangat baik. Malah Baginda s.a.w. seringkali mengingatkan para sahabat untuk sentiasa mengamalkan ibadah tersebut. Sabda Baginda s.a.w.

Bacalah al-Quran. Pada hari Kiamat ia akan memberi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.” – HR Muslim

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-A’raaf: 204

“Dan apabila al-Quran dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.”

Tiada paksaan mendengar

Namun demikian dalam Islam tiada paksaan untuk seseorang perlu mendengar bacaan al-Quran, apatah lagi jika sepanjang masa. Apa yang ada hanyalah galakan, bermakna sesiapa yang mendengar kedua ibadah ini mereka beroleh pahala dan rahmat.

Barangkali ada orang yang lebih selesa untuk membacanya sendiri atau membacanya pada waktu yang tertentu disebabkan oleh kekangan sesuatu perkara. Boleh jadi juga pada waktu tersebut mereka sedang ingin beristirahat, beribadah, sedang sakit, mempunyai anak kecil, sedang bekerja, mengajar di dalam kelas atau hal-hal lain.

Begitu juga mungkin ada kalangan bukan muslim yang merasa terganggu dengan bacaan tersebut sehingga menimbulkan ketidakselesaan atau berasa tidak harmoni dalam sesebuah komuniti.

Azan tidak mengambil waktu yang lama.

Benar! Di pihak pengurusan mungkin beranggapan ini satu dakwah kepada golongan belum muslim, tetapi sekali lagi harus diingat dakwah yang baik adalah dengan akhlak yang baik dan bukan melalui jalan paksaan. Tidakkah dalam anggapan mereka melihat orang Islam ini adalah kelompok yang tidak harmoni kerana tidak menghormati hak privasi orang lain.

Apatah lagi bacaan al-Quran atau zikir yang sengaja dipasang dan dikuatkan ini mengambil waktu yang lama berbanding azan hanya beberapa minit. Malah bukan hanya bacaan al-Quran dan zikir tetapi juga ceramah-ceramah agama juga turut dipasang dengan kuat, dengan harapan menimbulkan kesedaran kepada umum.

Teguran Baginda s.a.w.

Sebenarnya dalam satu kisah, Baginda s.a.w. sendiri pernah melarang orang yang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis dari Said al-Khudri r.a.

Ketika Nabi s.a.w. sedang beriktiqaf (beribadah dalam masjid) Baginda mendengar mereka menguatkan suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w. berada di tempat ibadah Baginda. Lalu Baginda mengangkat langsir dan bersabda, “Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya. Jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.” – HR Abu Daud

Jelas dalam hadis ini Baginda s.a.w. melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah atau menyakitkan orang lain.

Sekiranya mereka berada di dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun dilarang untuk menguatkan suara bacaan sehingga mengganggu tumpuan orang lain, apatah lagi untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga mengganggu mereka yang di luar masjid.

Seharusnya pihak pengurusan masjid dan surau perlu faham tanggung jawab mereka terutama kepada kariah mereka. Dalam hal ini pihak berkuasa seperti jabatan agama perlu memantau, mendidik serta memberikan bimbingan kefahaman yang betul terhadap pihak pengurusan supaya isu-isu sebegini tidak akan berlaku lagi. Wallahu a’lam.

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram