anak angkat anak susuan

Anak susuan bukanlah isu baru. Malah ada yang memandang remeh perkara sebegini. hubungan anak susuan juga bukan isu ringan kerana ia melibatkan hukum halal haram dalam perkahwinan. Bahkan ramai yang keliru bagaimana seseorang itu mendapat status anak susuan.

Hal ini bertambah rumit apabila ada segelintir masyarakat yang beranggapan, apabila mengambil anak angkat, sesiapa sahaja dari keluarganya, termasuk ipar-duai boleh menyusukannya bagi menghalalkan perhubungan ‘mahram’ anak susuan dengan bapa susuan.  

Sebagai contoh, seorang lelaki mengambil seorang anak angkat perempuan lalu diserahkan kepada kakak iparnya (isteri kepada abangnya) untuk disusukan. Setelah cukup lima kali kenyang, maka anak angkat tersebut berubah statusnya kepada anak susuan. 

Antara anak angkat yang disusukan dengan anaknya sendiri bukanlah mahram.

Tapi, perlu diingat, status anak susuan itu berkait rapat dengan keluarga yang menyusukan bayi tersebut. Ini termasuklah abangnya yang berstatuskan bapa susuan, kakak iparnya,  sebagai ibu susuan serta anak-anak abangnya berstatuskan adik-beradik susuan.

Manakala hubungan dengan lelaki yang mengambil anak angkat tadi, hanya jatuh sebagai  bapa saudara susuan dan berstatus mahram. Akan tetapi isunya, apabila lelaki tersebut berkahwin dan mempunyai anak sendiri maka hubungan anak angkat tadi dengan anak-anaknya adalah adik beradik angkat atau lebih mudah dianggap sebagai sepupu.

Bermakna, antara mereka perlu dijaga batas-batas aurat, pergaulan atau apa sahaja yang menjadi larangan dalam lingkungan bukan mahram.

Banyak kes seumpama ini yang terlepas pandang lalu berlakulah ‘percampuran’ yang pada awalnya disangka sebagai  adik-beradik susuan.

Apa pun, tidak salah mengambil anak angkat bahkan Islam amat menggalakkannya lebih-lebih lagi sekiranya pengambilan anak angkat itu bertujuan menolong keluarga yang susah.   

Secara ringkasnya, anak susuan berlaku apabila seorang bayi menyusu kepada seorang perempuan yang bukan ibunya. Anak susuan tersebut akan dikaitkan dengan sebahagian hukum hakam anak kandung atau nasab, seperti dalam hal haram berkahwin sesama adik-beradik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,

Haram dengan sebab susuan seperti apa yang diharamkan dengan sebab nasab keturunan.” – HR Bukhari

Begitu juga persamaannya pada hukum ‘aurat, khulwah, tidak batal wuduk jika bersentuhan dan sebagainya.Walau bagaimanapun masih terdapat beberapa hukum yang berbeza antara anak susuan dengan anak kandung dalam isu perwarisan harta pusaka, nafkah, perwalian nikah, pengguguran hukum qisas, tidak dipotong tangan apabila mencuriharta dan penjagaan (wilayah) ke atas harta atau diri sendiri, yang mana kesemua ini tidak sabit ke atas anak susuan.

Cukup 5 kali kenyang

Jumlah penyusuan yang menjadi had minima pengiktirafan anak susuan ialah lima kali penyusuan yang mengenyangkan. Ia bermaksud, lima sesi penyusuan dan bukan lima kali sedutan.

Sudah tentu ia berlaku dalam tempoh yang berasingan memandangkan bayi akan berhenti menyusu apabila berasa kenyang dan menyusu semula apabila lapar. Penentuan kenyangnya seseorang bayi yang menyusu pula ditentukan melalui kebiasaan atau nature seseorang bayi.

Perlu lima kali kenyang baru dianggap anak susuan.

Bayi lelaki lebih kuat, kerap dan banyak menyusu berbanding bayi perempuan. Kenyangnya seorang bayi boleh diketahui dengan berhentinya bayi dari menyusu, sama ada secara melepaskan susu (payu dara) atau berhenti menyedutnya. Malah sebahagian bayi akan termuntah susu, sendawa atau terus tidur.

Disebutkan dalam sebuah  atsar shahabi daripada ‘Aisyah r.a katanya,  

“Menurut apa yang diturunkan daripada al-Quran sebelumnya bahawa 10 kali susuan yang telah dipastikan itu akan mengharamkan mereka (menjadikan mereka sebagai mahram). Kemudian (ketetapan itu) dimansuhkan dengan hanya lima kali susuan yang telah dipastikan. Maka wafat Rasulullah s.a.w. sedangkan (sebahagian mereka) terus membacanya (ayat lima kali susuan) daripada ayat Al-Quran (sehinggalah mereka berpakat untuk menasakhkan pembacaannya).” – HR Muslim

Ada pun yang dimaksudkan dengan pemansuhan ayat “10 susuan” itu adalah pada pembacaan dan hukumnya. Namun pemansuhan bagi ayat “lima kali susuan” itu adalah pada pembacaan sahaja bukan hukumnya.

Jika proses penyusuan itu terhenti sebentar kerana bayi mengambil nafas, keletihan, termengah-mengah atau tersedak dan kemudian kembali menyusu, maka penyusuan itu masih dikira sebagai satu kali susuan. Sama juga halnya apabila bayi itu dipindahkan daripada payu dara kanan ke sebelah kiri.

Jika bayi itu berhenti menyusu tanpa sebarang sebab kemudian kembali untuk menyusu, tempoh senggang ini perlu diambil kira. Sekiranya hanya sekejap, ia masih dikira sebagai satu kali susuan. Sekiranya berselang masa yang lama, ia dianggap dua kali penyusuan.

Syarat ibu dan anak susuan mengikut Islam

Dalam kondisi hidup berkerjaya hari ini, ada kebarangkalian si ibu susuan memerah susunya untuk disimpan atau disejukkan, malah dicampurkan pula dengan bahan lain seperti milo atau susu tepung.

Dalam hal ini, jika susu ibu melebihi 50 peratus daripada bahan campuran tadi, bayi  tersebut masih dikira sebagai anak susuan sekiranya menyusu sekurang-kurangnya lima kali kenyang.

“Islam meletakkan syarat tentang isu penyusuan dan anak susuan ini. Terdapat tiga perkara yang diambil kira iaitu umur ibu susuan, anak yang ingin disusukan dan tujuan penyusuan.”

Bagi wanita yang menyusukan itu, perlulah seorang yang mencapai usia baligh. Dalam Islam, seorang perempuan layak berkahwin setelah mengalami kitaran ovulasi yang juga dinamakan darah haid. Bagi mereka yang telah melalui proses ini, mereka mampu untuk mengandung, menghasilkan zuriat seterusnya menyusukan anak.

Tidak salah mengambil anak angkat namun perlu fahami hukum hakam agama dahulu.


Manakala bagi anak yang disusukan pula, perlu berusia tidak melebihi dua tahun genap. Jika seseorang anak itu sudah melepasi usia dua tahun walaupun sehari selepas tarikh kelahirannya, anak tersebut bukanlah anak susuan walau sebanyak mana mereka minum susu ibu itu.

Apa pun, tiada larangan dalam Islam kepada wanita yang tidak berkahwin untuk menjadi ibu susuan. Namun, dalam konteks hari ini, banyak kekhuatiran lain yang masih perlu difikirkan.

Kecuaian atau kurang faham terhadap sistem susuan ini boleh mengakibatkan pertembungan halal haram khususnya dalam isu perkahwinan, pergaulan dan nasab. Wallahu a’lam.

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram