Sejak dahulu, kita sering mendengar cerita orang-orang lama tentang kewujudan buaya putih. Kisah buaya putih ini ada di serata tempat. Antaranya cerita buaya putih di Bera, Pahang yang dikatakan sebagai kembar seorang pawang tersohor.

Di Kuala Kubu Baharu, Selangor pun ada kisah buaya putih. Dikatakan akibat kedegilan seorang pegawai Inggeris yang menembak mati seekor buaya putih, ia mendatangkan bencana banjir besar kepada penduduk kampung.

Di Kelantan juga ada kisah buaya putih. Tok Selehor, seorang ulama terkenal di Tumpat dikatakan diberi kelebihan oleh Allah yang mana beliau mampu berkomunikasi dengan buaya putih di sungai Selehor di kampungnya.

Buaya putih itu ditugaskan untuk menjaga keamanan sungai tersebut yang mana sebelum ini sering berlaku ancaman daripada buaya-buaya lain sehingga menyukarkan aktiviti seharian penduduk yang bergantung kepada sungai.

Kisah buaya putih ada di serata tempat dengan pelbagai versi cerita.

Bercerita mengenai kisah buaya putih ini, beberapa tahun lalu Mastika juga pernah menemubual sebuah keluarga di Mantin, Negeri Sembilan. Apa yang menariknya, keluarga ini mendakwa bahawa mereka merupakan waris kepada buaya putih di sungai Linggi, Negeri Sembilan.

Menurut ketua keluarga itu yang dikenali sebagai Mohd Zain, mereka bukan setakat mewarisi darah pemilik buaya putih, tetapi juga boleh berkomunikasi dengan buaya tersebut yang menjelma dalam rupa nenek tua. Mereka akan berbual melalui perantara. Salah seorang anaknya perempuannya selalu dipilih menjadi perantara.

Menurut Mohd Zain, pada mulanya dia sendiri tidak mengetahui keturunannya ada kaitan dengan buaya putih. Hanya pada tahun 1983, barulah cerita ini terbongkar.

Selepas dia bersara daripada unit komando, seorang anak perempuannya yang bernama Siti yang ketika itu berusia 10 tahun demam teruk. Hampir tiga bulan anaknya itu demam, tidak selera makan dan minum sehingga badannya susut.

Selama demam itu, pelbagai ikhtiar Mohd Zain lakukan. Merata tempat dia membawa Siti berjumpa doktor atau sesiapa saja yang pandai merawat. Namun, demam anaknya tidak juga kebah.

Lantas Mohd Zain cuba berikhtiar sendiri. Dia membancuh segelas susu lalu membacakan surah al-Fatihah dan niatkan agar anak perempuannya itu sembuh. Tak lama selepas minum susu itu, Siti pulih dan sihat semula.

Beberapa hari selepas anaknya pulih, Mohd Zain mendapat khabar ibunya jatuh sakit. Dia bergegas pulang ke kampungnya di Mantin, Negeri Sembilan. Sampai di rumah ibunya, Mohd Zain terkejut apabila melihat kelakuan ibunya yang sedang merangkak dalam rumah seperti seekor buaya.

Ketika itu barulah terbongkar cerita bahawa keluarga Mohd Zain sebenarnya keturunan buaya putih. Mereka mendapat tahu melalui ibunya apabila badan ibunya  dimasuki semangat buaya itu.

Sungai Linggi.

Buaya putih itu berasal dari sungai Linggi. Ibu saudara Mohd Zain yang ketika itu tahu serba sedikit cerita tentang buaya putih itu menjadi orang tengah berdialog dengan makhluk dalam badan ibunya.

Ibu saudaranya lantas mendedahkan kisah buaya putih yang berasal dari keturunan keluarga mereka itu. Menurutnya, buaya putih itu dahulu asalnya manusia biasa. Orang memanggilnya nenek Putih.

Kira-kira 500 tahun lalu, nenek Putih telah terjatuh ke dalam Sungai Linggi tetapi mayat wanita itu tidak ditemui. Ketika kejadian, nenek Putih sedang mengacau dodol di tebing sungai, namun entah bagaimana dadanya terkena percikan dodol. Sebab percikan dodol yang panas, dia terjun ke dalam sungai. Tapi selepas itu, nenek Putih tidak timbul-timbul lagi.

Suami nenek Putih yang menyedari kehilangan isterinya itu terus mencari-cari. Namun, wanita itu terus hilang tidak ditemui. Kalau betul mati, di mana mayatnya?   

Suatu malam selepas beberapa hari kehilangan nenek Putih, suaminya bermimpi bertemu isterinya itu. Dalam mimpi itu, nenek Putih minta jangan cari dia lagi kerana dia sudah bertukar menjadi buaya putih dan kini tinggal di alam ghaib. Sejak itu, nenek Putih sering berdamping dengan waris keluarga Mohd Zain.

Nenek Putih berpesan kepada suaminya agar jangan mencarinya lagi kerana dia sudah bertukar menjadi buaya putih dan tinggal di alam ghaib. – GAMBAR HIASAN.

“Anak saya Siti semasa kecil demam teruk, rupa-rupanya kerana buaya putih itu memilih Siti untuk menjadi ‘sarungnya’. Sarung ni bermaksud nenek Putih mahu meminjam tubuh Siti apabila dia mahu berkomunikasi di alam nyata dengan kami,” beritahu Mohd Zain yang mengakui dirinya merupakan keturunan keenam buaya putih tersebut.

Lebih kurang lapan tahun lalu, keluarga Mohd Zain mendapat arahan supaya ke Sungai Linggi dan membaca Yasin di sana. Nenek Putih berjanji akan menunjukkan dirinya selepas itu.

Mohd Zain sewaktu ditemui Mastika beberapa tahun lalu, menceritakan kisah buaya putih di sungai Linggi yang didakwa adalah keturunannya.

“Kami pergi ke sana, kami sekeluarga sama-sama membaca surah Yasin. Baru mula baca, tiba-tiba air sungai Linggi seakan bergelombang. Menantu saya nampak seekor buaya putih keemasan, muncul di tebing sungai. Saiznya lebih besar daripada buaya-buaya yang biasa kita lihat,” cerita Mohd Zain.

Sejak itu, setahun sekali Mohd Zain dan keluarganya akan berkunjung ke Sungai Linggi untuk bacaan Yasin.

Disebabkan mempunyai pertalian dengan buaya putih, keluarganya juga mempunyai beberapa pantang larang.

Antaranya, mereka tidak dibenarkan membasuh pinggan dan kelambu dalam sungai. Selain itu, mereka juga tidak boleh bersikap takbur.

____________________________

Baca juga kisah lain : https://utusantv.com/2021/01/20/nona-baker-kelibat-perawan-inggeris-yang-sering-muncul-di-sungai-lembing/

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.