Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (dua dari kiri) bersama Pengasas THQ Esports Club, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin (kiri sekali), Pengarah Eksekutif Myeg Services Berhad, Prof Datuk Raja Munir Shah Mustapha (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MyEvent International Sdn Bhd, Hema Kendy (kanan sekali) melakukan gimik perasmian ketika hadir ke Majlis Pelancaran Malaysia Esports Series 2021 di Putrajaya, disini hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGANJURAN Malaysia Esports Series 2021 (MES) 2021 disifatkan bakal mencipta dimensi baharu dalam industri e-sukan negara apatah lagi buat julung kalinya kejohanan berprestij mendapat sokongan tiga kementerian berbeza. 

Pengasas dan pemilik THQ Esports Club, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin berkata, kejohanan yang dianjurkan secara bersama oleh syarikatnya dan MyEvents International itu menerima sokongan padu Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pengajian Tinggi. 

Beliau berkata, pengiktirafan yang diberikan KBS akan merancakkan pembangunan e-sukan negara kerana penyertaan sukan ini membabitkan segenap lapisan masyarakat, mencipta peluang pekerjaan di samping melahirkan atlet e-sukan profesional. 

Pada masa sama, Muhammad Aimanulhaq memaklumkan sokongan Kementerian Kesihatan dapat memberi perspektif baharu kepada masyarakat kerana sebagai atlet e-sukan, ketahanan fizikal, mental, diet dan psikologi merupakan faktor yang dititikberatkan kepada atlet dalam mendapatkan prestasi optimum bagi meraih kejayaan. 

“Sokongan Kementerian Pengajian Tinggi pula akan memberi pendedahan kepada siswa tentang kepentingan pemikiran kritikal, pemikiran strategik, kecerdasan buatan (AI) dan internet segala benda (IoT) dalam membentuk modal insan yang mampu mendepani cabaran era digital dan ekonomi global,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian MES 2021 di Putrajaya, hari ini. 

Pengasas THQ Esports Club, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Pengarah Eksekutif Myeg Services Berhad, Prof Datuk Raja Munir Shah Mustapha (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MyEvent International Sdn Bhd, Hema Kendy (kiri sekali) ketika hadir ke Majlis Pelancaran Malaysia Esports Series 2021 di Putrajaya, disini hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: RM100,000 jadi taruhan Malaysia Esport Series 2021

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. 

Lebih 2,000 pemain e-sukan dijangka berentap bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 dalam kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 yang akan berlangsung bermula 26 hingga 11 April ini.

Kejohanan secara maya itu dijangka mampu menarik lebih 300,000 penonton dari 10 buah negara, bakal menyaksikan peserta berentap dalam permainan FIFA2021, Mobile Legends: Bang Bang dan PUBG.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, kejohanan seumpama itu sememangnya menjadi platform positif kepada komuniti e-sukan di Malaysia. 

Apa yang menarik, katanya, komitmen penganjur bukan sahaja daripada sudut penganjuran acara tetapi kesungguhan membuka mata mengenai wujudnya peluang kerjaya dan potensi keusahawanan dalam bidang e-sukan. 

“Golongan belia dilihat sebagai penerima manfaat utama penganjuran kejohanan e-sukan tempatan termasuk MES 2021 ini. Selain itu, bakat-bakat baharu dapat dipupuk dan diasah untuk menjadi lebih berkemahiran dan mampu mewakili negara ke persada dunia. 

“Natijahnya, minat serta penyertaan belia kini naik mendadak dan KBS mahu memainkan peranan yang lebih proaktif untuk membantu dan mengembangkan ekosistem e-sukan ke arah lebih positif dan inklusif,” jelas beliau. 

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram