Gangguan bekalan air berjadual akan berlaku di sebahagian Lembah Klang hujung bulan ini dan bulan depan./ Gambar hiasan media sosial.

TAHUN lalu penduduk Lembah Klang memang ‘panas hati’ bab bekalan air kerana terlalu kerap sangat gangguan tidak berjadual angkara pencemaran.

Pada 2021, setakat suku pertama ini belum berlaku gangguan seumpama itu pada skala serius.

Namun, 30 Mac ini, sebahagian penduduk di Petaling, Shah Alam dan Klang perlu bersiap sedia berdepan gangguan bekalan air selama 48 jam.

Kali ini gangguan berjadual di 30 kawasan terlibat berikutan kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu itu dilaksanakan di kawasan berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam.

“Kerja itu akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di lima kawasan di Petaling, 14 kawasan di Klang dan 11 kawasan di Shah Alam bermula jam 9 pagi, 30 Mac ini.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi, 1 April 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates dan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju, bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam.

“Kerja penggantian injap ini akan dilaksanakan pada 6 April, jam 9 pagi hingga 9 malam. Berikutan henti tugas ini, 12 kawasan di Gombak dan 46 kawasan di Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9 pagi, 6 April ini. Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 9 April 2021, jam 5 pagi.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan,” katanya.

Justeru, Air Selangor menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

Elina menjelaskan pelaksanaan kerja penyenggaraan aset utama yang bakal dilaksanakan telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum dilaksanakan.

Antara yang dipertimbangkan adalah mengelakkan pelaksanaan kerja penyenggaraan dalam tempoh masa tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas perayaan utama diwartakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Kenyataan itu turut memaklumkan kerja penyenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Air Selangor itu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan bekalan air yang berterusan dapat diberikan kepada pengguna pada masa hadapan.

Elina memaklumkan Air Selangor telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melaksanakan kerja penyenggaraan aset utama secara berjadual.

Selain itu, Air Selangor mengelak tarikh semasa berlangsungnya sesuatu acara penting peringkat antarabangsa, nasional atau negeri seperti acara sukan, persidangan atau mesyuarat.

Turut dielak ialah tarikh semasa peperiksaan utama sekolah kerajaan.

Baca artikel berkaitan: Isu air: Kedah akan terus tuntut, P. Pinang layak guna 5% sahaja – MB

“Air Selangor ingin menjelaskan bahawa pelaksanaan kerja berjadual ini dilaksanakan bagi membolehkan aset utama dan sistem pengagihan bekalan air berada pada tahap yang baik.

“Penambahbaikan infrastruktur paip ini juga adalah sebahagian daripada usaha Air Selangor dalam meningkatkan mutu perkhidmatan terbaik demi keselesaan pengguna pada masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

Pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.


Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram