RACHUN DUNIA, Februari 1950, 1 jam 49 minit: Malang lagi. P. Ramlee terus diketepikan. Sudah masuk filemnya yang kelima, namun P. Ramlee masih gagal. Gagal mendapat kepercayaan Pengarah untuk membawa watak utama, gagal menampilkan lakonan yang diharap-harapkan.

Malah, lebih mengecewakan, P. Ramlee telah dikalahkan oleh Osman Gumanti, pelakon tempelan dalam filem pertamanya, Chinta (1948) yang hanya diberikan watak sebagai penari istana sahaja. Apalah sangat watak itu. Ada bagai tiada. Hanya sekadar penari. Melintas sekejap di depan kamera.

Tapi itulah hakikatnya, P. Ramlee masih gagal. Gagal di tangan Osman, si penari istana. Kenapa? Apa masalah dengan P. Ramlee?

Selepas filem Chinta pada Oktober 1948, B.S. Rajhans sekali lagi menawarkan P. Ramlee berlakon filem arahannya, Noor Asmara. Cerita cinta anak muda dalam kalangan orang kaya.

P. Ramlee menyambut gembira tawaran itu. Malangnya, di dalam filem tersebut P. Ramlee masih tidak `dinaikkan pangkat’, malah seperti diturunkan peranannya.

Kalau dalam filem Chinta beliau menjadi antagonis, si Putar yang cuba menghalang cinta Raja Kanchi (S. Roomai Noor) dan gadis jelita bernama Chinta (Siput Sarawak), namun filem Noor Asmara ini P. Ramlee hanya diberi peranan sebagai pemain muzik sahaja. Selain itu, berlawak dengan D. Harris.

Rajhans sebaliknya terus memberi kepercayaan kepada S. Roomai Noor untuk menjadi teraju utama filem beliau, biarpun Roomai Noor pun masih baru dalam dunia perfileman. Bukan itu saja, Roomai Noor mendapat gandingan baru, iaitu pelakon jelita, Kasma Booty, yang sebelum itu Rajhans perkenalkan melalui filem Chempaka.

Bagaimana dengan lakonan P. Ramlee? Penonton tidak begitu memberi perhatian pun kepada beliau. Peranannya kecil sahaja.

Nasib, Julai 1949, 1 jam 48 minit : B.S. Rajhans sekali lagi mengambil P. Ramlee berlakon dalam filem arahan terbaharunya. Ini kisah harta lanun yang disimpan di dalam gua, telah dicuri oleh seorang pemuda kampung penggembala kerbau bernama Kassim. Kisah melarat hingga membabitkan istana dan kesudahannya puteri baginda yang jelita berkahwin dengan pencuri harta karun tadi.

Sudah masuk filem ketiga, adakah B.S. Rajhans sudah percaya pada kebolehan P. Ramlee? Oh, tidak.

Ternyata S. Roomai Noor terus mendapat kepercayaan Rajhans untuk menjadi hero filemnya. Gandingan S. Roomai Noor ialah Siput Sarawak, pasangan yang sangat ideal dan diminati ramai.  

Pengarah itu masih belum yakin. Malah P. Ramlee hanya diberi watak sebagai pelawak bersama D. Harris. Sebagaimana Chinta dan Noor Asmara, di samping berlakon P. Ramlee juga menjadi continuity (penjaga sambungan) dan playback singer kepada S. Roomai Noor. 

Bilakah agaknya P. Ramlee akan diberi peluang membawa watak utama? Tidak layakkah dia? Beliau terus menunggu peluangnya.

Nilam, September 1949, 1 jam 48 minit: Ini filem keempat B.S. Rajhans memberi P. Ramlee peluang berlakon filem arahannya. Filem mengenai dua orang pemuda Jawa bernama Ahmad dan Jaiman yang mengembara hingga ke Mesir dengan membawa sebilah keris pusaka. Di sana Ahmad telah jatuh cinta dengan seorang gadis cantik bernama Dilara, tanpa menyedari gadis itu adalah Puteri Nilam yang sedang sakit kerana dirasuk jin.

Aduhai… sekali lagi Rajhans `menghampakan’ P. Ramlee. Beliau masih tidak percaya P. Ramlee mampu memainkan watak utama. Peranan hero sebaliknya terus beliau serahkan kepada S. Roomai Noor, untuk bergandingan dengan Siput Sarawak.

B.S. Rajhans silap?

B.S. Rajhans

Tidak! Ramai yang mengatakan pemilihan Rajhans itu memang tepat kerana diketahui Roomai Noor memliki wajah yang tampan dan badan yang segak, berbanding P. Ramlee yang kurus kering, muka cengkung dan berjerawat serta rambut kerinting. Dengan kekacakan Roomai Noor itu, tentulah beliau lebih sesuai digandingkan dengan Siput Sarawak yang terkenal dengan kecantikannya.

Apakah watak yang Rajhans galaskan kepada P. Ramlee? Dalam filem ini P. Ramlee sekali lagi diberikan watak jahat, iaitu Rashid yang turut jatuh cinta kepada Puteri Nilam. Dia berusaha menggagalkan usaha Ahmad daripada memiliki puteri raja yang jelita itu.

Berita baiknya, watak jahat itu membuatkan kehadiran P. Ramlee sudah kian dirasai berbanding tiga filem sebelum ini. Peranannya yang semakin besar dan berat itu nampak begitu mencabar.

Lakonan P. Ramlee mula menampakan peningkatannya, namun masih juga dikritik kerana ada waktunya beliau kelihatan kekok dan keterlaluan dalam memainkan wataknya.

Rachun Dunia, Februari 1950, 1 jam 49 minit : Mengisahkan seorang isteri (Aminah, Kasma Booty) yang setia dan suami (Jamal, Osman Gumanti) yang lupa diri akibat godaan wanita mata duitan (Siput Sarawak).

Sekali lagi Rajhans `mengecewakan’ P. Ramlee. Walaupun ini kali kelima P. Ramlee dibawa berlakon dalam filemnya, Rajhans hanya memberikan watak penjahat saja kepada beliau (Harun). Yang lebih `menyakitkan’ watak utama Rajhans serahkan kepada Osman Gumanti, yang sebelum ini hanya berlakon sebagai penari istana, dan kemudiannya watak kecil dalam filem Nilam.

Osman Gumanti

Osman yang memiliki wajah tampan dan tubuh yang segak dipadankan dengan pelakon cantik, Kasma Booty. Salahkah pemilihan Rajhans itu, kerana sepatutnya P. Ramlee yang memegang watak hero?

Rata-rata mengatakan, pemilihan Rajhans itu memang tepat kerana dengan badannya yang kurus dan muka berjerawat, P. Ramlee belum layak diberikan watak hero, apatah lagi bergandingan dengan pelakon yang cantik dan terkenal.

Tambahan pula, lakonan P. Ramlee masih lagi nampak kelemahannya. Ada kalanya lakonan beliau tidak natural dan kelihatan dibuat-buat. Itulah kelemahan P. Ramlee yang masih lagi gagal beliau perbaiki.

Kalau begitu, apa kelebihan P. Ramlee? Pada waktu itu, tiada siapa dapat menafikan, beliau mempunyai suara dan cara nyanyian yang sangat baik. Oleh kerana itu, beliau diambil untuk menyanyi kebanyakan lagu dalam filem-filem sebelumnya.

Malah, di luar panggung, nama P. Ramlee sudah popular kerana lagu-lagunya yang disukai ramai seperti Azizah serta duet bersama Nona Asiah melalui lagu Oh Bulan, Asmara Bergelora, Putus Harapan dan banyak lagi.

Apa reaksi Ramlee seterusnya? Bilakah peluang itu akan tiba? Adakah bersama B.S. Rajhans atau oleh Pengarah lain?

  • Bersambung.

NOTA: Artikel ini penulis olah semula berdasarkan buku Filem-filem P. Ramlee, tulisan Mustafar A.R. dan Allahyarham Datuk Aziz Sattar. Mustafar A.R. merupakan bekas wartawan hiburan Utusan pada tahun 1970an manakala Aziz Sattar adalah sahabat baik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Anda yang berminat untuk mendapatkan buku ini boleh menghubungi penulis. – ZULKARNAIN ZAKARIA, UTUSANTV