Ceritanya bermula sekitar tahun 1918 di Jepun. Ketika itu seorang pemuda berusia 17 tahun, bernama Eikichi Suzuki tertarik dengan sebuah patung ketika berkunjung ke Sapporo.
Baginya, patung itu sangat cantik. Berwajah putih bagai porselin, bermata hitam pekat umpama mutiara hitam, berambut lebat paras bahu, tinggi sekitar 40 sentimeter dan memakai kimono.
Suzuki kemudian membeli boneka itu buat adiknya, Okiku. Seperti yang dijangka, Okiku yang berumur dua tahun sangat menyukai pemberian abangnya itu.

Setiap hari, Okiku akan bermain dengan patung itu. Sayang Okiku pada patung itu seperti sahabat sehingga dia memberi nama pada boneka itu, Okiku, sama seperti namanya.
Kerana terlalu menyayanginya, anak ini tidak boleh berenggang dengan patung tersebut. Ke mana sahaja dia pergi, boneka itu pasti akan dibawa bersama.
Sehinggalah pada tahun berikutnya, Okiku jatuh sakit. Di usia tiga tahun, anak kecil ini terlantar akibat diserang demam panas yang teruk, dan akhirnya Okiku meninggal dunia.
Sebelum dimakamkan, ahli keluarganya berhasrat mahu mengebumikan boneka itu bersama Okiku. Tetapi kerana keadaan yang tidak terduga, boneka itu tidak dapat disemadikan bersama tuannya.
Keluarga Okiku kemudian meletakkan boneka tersebut di atas sebuah altar, tempat berdoa untuk mengenang puteri kesayangan mereka. Bagaimanapun beberapa hari selepas berkabung, keluarga Okiku menyedari ada sesuatu yang aneh pada patung tersebut.
Rambut patung Okiku yang sebelumnya sekitar paras bahu dilihat mulai panjang melepasi ukuran asal. Sudah beberapa kali keluarga Okiku memotongnya. Anehnya, rambut boneka itu tetap panjang semula. Bahkan jika dibiarkan, ia akan terus-menerus tumbuh dan memanjang sehingga ke paras lutut. Tapi entah kenapa, rambut boneka itu selalunya akan berhenti tumbuh apabila sampai di paras lutut.
Sejak kejadian aneh ini, keluarga Okiku mulai percaya bahawa roh gadis kesayangan mereka telah menghuni patung tersebut.

Lama selepas itu, pada tahun 1938, keluarga mendiang Okiku telah berpindah ke wilayah lain. Oleh kerana mereka yakin roh Okiku berada di dalam patung itu, keluarganya tidak sampai hati mahu membuang boneka tersebut. Sebaliknya, mereka memutuskan untuk meletakkan patung Okiku itu di kuil Mannenji di Hokkaido.
Sebelum meninggalkannya, keluarga tersebut telah menjelaskan keadaan pelik yang berlaku pada boneka itu kepada pihak kuil. Walaupun tahu tentang keanehannya, pihak kuil masih sudi untuk menjaga boneka tersebut.
Sejak menjaganya, pihak kuil mengakui cerita itu memang benar berlaku. Rambut boneka Okiku didapati terus tumbuh memanjang daripada ukuran sebelumnya. Keadaan tersebut membuatkan petugas kuil perlu memotong rambut patung Okiku secara berkala bagi memastikan ia sentiasa tampil dengan imej rambut paras bahu.

Pernah ada yang cuba merungkai misteri rambut boneka ini. Sampel dari patung Okiku telah diambil dan dianalisis. Seorang penyelidik Jepun mendedahkan bahawa hasil ujian forensik ke atas rambut boneka itu ternyata mengejutkan. Mana tidaknya, rambut dari patung tersebut disahkan rambut manusia. Dan ia didapati sama seperti rambut yang tumbuh pada kanak-kanak berusia 10 tahun.
Sehingga ke hari ini, patung Okiku masih berada di kuil Mannenji. Ia diletakkan pada posisi berdiri di dalam sebuah kotak kayu bersaiz sederhana di mana rambutnya terus-menerus tumbuh dan memanjang.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada laporan menyatakan bahawa patung itu bergerak, membuat bising, membawa nasib buruk atau kematian misteri. Hanya dilaporkan rambutnya tidak berhenti tumbuh.
Kisah tentang boneka misteri ini pernah menggemparkan Jepun. Boneka Okiku ini begitu popular sehingga banyak diadaptasi ke dalam novel dan filem.
________________
Siapa duduk di kerusi ini, nyawanya melayang. Baca kisahnya di pautan ini : https://utusantv.com/2021/01/27/siapa-duduk-di-kerusi-ini-nyawanya-akan-melayang/
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.