dosa anak bapa tanggung

Kita mungkin pernah mendengar ada hujah mengatakan bahawa dosa anak perempuan ditanggung oleh bapa selagi mana dia belum berkahwin. Begitu juga bagi anak lelaki yang belum mencapai usia baligh. Seandainya di kalangan mereka ada melakukan kemungkaran, maka dosanya akan dipikul oleh bapa hingga mendapat azab di dalam kubur.

Sejauh mana kebenaran hujah tersebut, kerana tiada dalil yang jelas dalam al-Quran mahupun as-Sunnah yang menyatakannya. Jika apa yang diperkatakan itu benar, ini menunjukkan bahawa bapa akan menanggung segala dosa anak-anak mereka keseluruhannya.

Logiknya, jika bapa tersebut mempunyai 10 orang anak, bermakna bapa akan menanggung dosa anak-anak mereka berlipat kali ganda. Dan sudah semestinya, tiada ruang bagi si bapa untuk berada dalam syurga sekalipun dia merupakan seorang hamba yang begitu taat kepada perintah Allah.

Bagaimana pula sekiranya ibu bapa meninggal dunia, adakah terputus tanggungan dosa tersebut, atau tetap juga dipikul sehingga anak-anak perempuan berkahwin dan anak lelaki mencapai usia baligh?  Adakah mereka juga akan mendapat azab kubur di atas kesilapan yang dilakukan anak-anak di dunia?

Anak adalah amanah Allah yang perlu dididik supaya menjadi insan beriman

Merungkaikan persoalan itu, menurut Pensyarah Pengajian Islam, Kolej Darul Hikmah, Syahrul Hizam Mokhtar, tanggungjawab menjaga dan mendidik anak terletak di atas bahu kedua ibu bapa.

Anak anak merupakan amanah yang dianugerahkan Allah S.W.T. supaya manusia dididik menjadi insan beriman dan bertakwa, oleh itu sesuai dengan sabda nabi s.a.w. bermaksud,

Dari Ibnu Umar dari Nabi s.a.w. bahawa Baginda bersabda “Ketahuilah bahawa setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, seorang wanita adalah pemimpin di dalam rumahnya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab di atas apa yg dipimpinnya, seorang hamba yang menjaga harta tuanya dan bertanggungjawab ke atasnya, ketahuilah setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab di atas apa yang kamu pimpin.”

Jelasnya, berdasarkan hadis itu, ia memahamkan kepada kita tentang tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh setiap manusia, di atas apa yang dipimpin atau setiap perkara yang diamanahkan.

Anak adalah amanah kepada kedua-dua ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu memberikan pendidikan kepada mereka secukupnya. Ia merangkumi perkara berkaitan agama atau pun tentang kehidupan, supaya anak tersebut dapat menilai perkara baik dan buruk, suruhan dan tegahan, selari dan bertentangan dengan agama.

“Setelah menunaikan amanah tersebut, maka tanggungjawab menjaga mereka telah terlaksana”

Kedua ibu bapa tidak akan lagi dipersoalkan  di atas perkara yang dilakukan oleh anak mereka.  Ini kerana manusia tidak bertanggungjawab di atas dosa yang dilakukan oleh orang lain sepertimana firman Allah surah az-Zumar: 7,

“Seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Ia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada”

Berdosa tidak laksanakan tanggungjawab

Namun setiap orang mestilah memahami bahawa amanah menyampaikan terletak di atas bahu setiap Muslim. Sekiranya amanah ini diabaikan, maka ia berdosa kerana tidak menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai ibu bapa.

Ibu bapa dihukumkan berdosa sekiranya tidak memberikan kefahaman agama kepada anak-anak di bawah tanggungannya. Dan ibu bapa juga berdosa, jika tidak menggunakan kuasanya untuk menyekat perbuatan dosa anaknya.

Akan tetapi, ibu bapa tidak akan menanggung dosa yang dilakukan oleh anaknya sekalipun telah meninggal dunia. Ini bermakna, tiada azab kubur kepada ibu bapa yang gagal menyempurnakan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.

Ibu bapa tidak menanggung dosa anak selagi amanah dan tanggungjawab telah ditunaikan

Sebagai anak, mereka perlu sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapa yang sudah meninggal dunia supaya diampunkan dosa, dijauhi azab, diberi rahmat dan kebahagiaan di alam barzakh. Ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud,

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda,

“Apabila seorang anak Adam mati  maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” HR Muslim

Oleh itu, ibu bapa mestilah mendidik anak-anak mereka hingga menjadi insan yang soleh dan bertakwa di sisi Allah S.W.T. supaya manfaatnya dapat dirasai bersama. Wallahu a’lam

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram