nabila razali

PENYANYI Nabila Razali meluahkan rasa kesal dan sedih apabila terdapat segelintir rakan artis yang turut memperlekehkan insiden terkucil ketika dia membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada 14 Mac lalu.

Dedah Nabila atau Nur Nabila Mohd. Razali,29, kejadian itu telah memberi pengajaran kepada dirinya dan membuka mata dalam menilai seseorang kawan atau lawan seperti yang dipetik dalam laporan mStar.

“Sebagai seorang manusia biasa, kita tidak boleh kawal apa yang akan berlaku…saya dah berlatih tapi insiden itu dah pun terjadi dan ia di luar kawalan saya.

“Apa yang saya kesal ialah tak sangka orang yang mencari rezeki dalam bidang yang sama turut berbual tentang benda negatif (fasal saya) sedangkan kami berkongsi periuk nasi yang sama.

“Tetapi sekurang-kurangnya apabila jadi insiden macam ini, ia mengajar saya untuk tahu yang mana kawan dan yang mana lawan saya.

“Ada yang tidak mengenali saya tapi bercakap seolah-olah mengenali saya daripada kecil…benda itu tidak manislah sebab kalau kita nak bercakap fasal orang, kita kena mengenali orang itu terlebih dahulu,” katanya.

Walaupun menyedari dirinya dikutuk sesetengah pihak dalam industri, namun Nabila mengambil pendekatan enggan bermusuh dengan sesiapa sebaliknya hanya ingin meneruskan kerjayanya seperti biasa selepas ini.

“Saya tiada isu dengan orang yang kritik saya sebab saya tidak ada buat apa-apa (tidak baik) pada orang dan selagi orang tak kacau periuk nasi saya, saya okey sahaja.

“Cuma itulah saya nak pesan, jangan kita mencurahkan lagi minyak ke dalam api yang membara, sebab kita semua sama-sama cari rezeki dalam industri ini. Kita sepatutnya beri semangat, bukannya menjatuhkan semangat orang lain,” ujarnya.

Sumber: mStar

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

TONTON VIDEO PILIHAN: