Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican./ FB Reezal Merican

ANAK muda perlu diberi ruang penyertaan demokratik untuk segera mendaftar sebagai pemilih sebelum pendaftaran secara automatik dikuatkuasakan.

Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyarankan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya melihat sekiranya ada di antara komponen pindaan Perlembagaan dilaksanakan terlebih dahulu tanpa menunggu yang lain.

Antara pindaan yang boleh dilaksanakan terlebih dahulu, kata Reezal Merican adalah kelayakan mengundi dan menjadi calon pada umur 18 tahun.

Beliau berkata, ini juga bermakna anak muda masih diberi ruang untuk bersama-sama dalam satu proses penting sebuah negara demokrasi.

“Sebab itulah, libat urus berterusan bersama-sama dengan pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, kumpulan fokus, kerajaan negeri, aktiviti belia dan sebagainya perlu diperhebat.

“Anak muda perlu sentiasa didampingi dan diajak bersama oleh SPR dalam apa jua gerak kerja yang sepenting ini. Mengundi adalah hak setiap warganegara dan jaminan untuk undi 18 dilaksanakan merupakan komitmen besar yang perlu digalas SPR,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: Orang muda marah kerajaan punca tidak dilaksana – Najib

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 secara tidak langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18.

Mengulas lanjut, Reezal Merican tanpa berselindung turut kecewa dengan kenyataan dikeluarkan SPR apatah lagi beliau antara wakil rakyat yang bangun untuk menyokong pindaan terhadap Perlembagaan pada 2019.

“Pemakluman SPR lewat petang semalam berkenaan pelaksanaan undi 18 sememangnya mengundang rasa kecewa dan terkilan khususnya kepada belia dan anak muda.

“Saya juga telah menyatakan beberapa kali dan dilapor media bahawa pendirian saya serta rakan-rakan ahli Parlimen yang lain tidak berubah.

“Sokongan 211 orang ahli Parlimen adalah untuk melihat satu proses demokrasi yang lebih meluas dapat diberikan kepada rakyat,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram