Bermain tugas hakiki kanak-kanak. Jangan bebankan dengan latih tubi berlebihan

0
31

Zaman kanak-kanak cukup indah kerana tiada bebanan yang diletakkan di atas bahu mereka. Tugas hakiki si kecil ini hanyalah bermain, makan dan tidur. Inilah zaman terbaik untuk memupuk perkembangan kendiri.

Namun, entah mengapa kanak-kanak seakan-akan dijadikan tikus makmal untuk dieksperimentasi. Latih tubi diberi secara ekstrem semata-mata untuk melihat sejauh mana kehebatan orang dewasa dalam mempratikkan ilmu yang dipelajari, tanpa mengambil kira lumrah kehidupan si kecil.

Menurut Parent Connect, matlamat pendidikan awal bukan menjadikan kanak-kanak terus bijak, sebaliknya ia membuka dimensi baru kepada ruang ‘keterujaan’ dan ‘yakin’ dalam proses pembelajaran.

Ikuti perkongsian yang cukup bermanfaat ini.

LATIH TUBI MENJADIKAN ANAK KECIL PANDAI?

Ramai yang menyangkakan semakin tinggi silibus, semakin susah soalan, semakin banyak latih tubi dari usia awal maka semakin bagus untuk mencabar tahap intelektual kanak-kanak agar menjadi ‘pandai’.

Itu satu sangkaan yang salah.

Matlamat pendidikan awal bukan untuk menjadikan kanak-kanak terus pandai membaca, menulis, mengira, dan menghafal.

Matlamat pendidikan pada usia awal kanak-kanak adalah agar kanak-kanak TERUJA dan YAKIN dalam proses pembelajaran kerana sikap inilah yang akan dibawa hingga dewasa.

Apabila tiada keterujaan dan keyakinan terhadap proses pembelajaran dari usia awal inilah, maka wujudnya mentaliti “Tak perlu belajar pun tak mengapa asalkan kaya”.

Kanak-kanak belajar melalui pengalaman yang diperolehi dari aktiviti bermain dan eksplorasi.

Tahukah ibubapa sekalian apabila kanak-kanak bermain dengan pasir, memasukkan pasir ke dalam bekas dengan tujuan untuk menyukat pasir atau tujuan untuk membina istana pasir dan sebagainya, kanak-kanak sedang melalui proses pembelajaran yang amat bermakna?

Ketika menyukat pasir, kanak-kanak sedang membina pola mental (mental patterns) yang menggabungkan pembelajaran visual dan motor. Mereka sedang meneroka konsep saiz, ketumpatan, tekstur, isipadu dan pecahan.

Semua ini merupakan konsep matematik yang tidak perlu ‘diajar’ sambil diam di meja dengan ‘worksheet’.

Menguruskan proses ‘bermain’ pasir memberikan informasi taktil ataupun informasi rasa melalui sentuhan yang akan membina sinapse yang baru dalam otak kanak-kanak.

Ini bermakna bermain pasir bukanlah aktiviti yang mengotorkan dan membuang masa sahaja, ia merupakan satu aktiviti yang menghubungkan sel-sel otak.

Bukan aktiviti biasa-biasa.

Ketika bermain pasir juga kanak-kanak perlu membuat pertimbangan (judgments), ramalan dan perancangan.

Ini merupakan blok-blok fungsi eksekutif otak yang membantu kawalan diri, tingkah laku dan peraturan kendiri (self regulation) kanak-kanak.

Fungsi eksekutif ini berguna bukan hanya sewaktu zaman kanak-kanak sahaja malah juga apabila sudah dewasa.

Ramai orang dewasa yang masih tidak dapat mengawal diri dan tidak berupaya untuk mengatur hidup sendiri.

Mungkinkah ketika zaman kanak-kanak dahulu orang dewasa ini tidak cukup bermain pasir?

Masih belum terlambat untuk bermain ya.

Bolehlah menyertai anak-anak kecil kita bermain pasir untuk kebaikan bersama.

Apabila bermain pasir dengan rakan-rakan, bahasa dan komunikasi juga boleh berkembang kerana kanak-kanak berkecenderungan untuk bercerita dan berkongsi tentang ‘projek’ yang sedang dibuat dengan pasir.

Bermain pasir juga melatih fokus dan tumpuan kerana kanak-kanak akan memberi tumpuan sepenuhnya apabila bermain kerana bermain adalah tugas hakiki kanak-kanak.

Adakah tadika anak anda mempunyai ‘sandpit’ atau yang seumpamanya?

Yang saya kongsikan ini cumalah pembelajaran melalui bermain pasir, belum lagi aktiviti-aktiviti bermain yang lain-lain lagi.

Kanak-kanak memerlukan pengalaman mental yang sebegini, bukannya latih tubi “drill-and-kill” yang susah-susah dan tidak sesuai dengan tahap perkembangan mereka.

Mendesak skil akademik sebelum waktunya tanpa penekanan pada aktiviti yang sesuai perkembangan (developmentally appropriate), seumpama cubaan untuk membina Penthouse di tingkat tertinggi kondominium sebelum tingkat-tingkat bawah disiapkan terlebih dahulu. Ia kelihatan gah pada awalnya tetapi lama-kelamaan seluruh bangunan akan runtuh.

Zaman kanak-kanak adalah satu proses, bukannya zaman untuk melihat hasil yang dahsyat. Apa yang penting adalah keterujaan dan keyakinan dalam proses pembelajaran yang akan dibawa sehingga dewasa.

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

Sumber : Parent Connect