campak murid
Tangkap layar klip video seorang guru tadika tular selepas mencampak murid semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan pihaknya telah menerima laporan mengenai kes murid tadika dicampak seorang guru hari ini.

Katanya, ibu bapa murid berkenaan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

“Kes berlaku di Jalan Kebun, bawah IPD Shah Alam. Baru selesai report oleh keluarga dan siasatan sedang dijalankan,” kata Arjunaidi dalam satu mesej ringkas melalui WhatsApp kepada UtusanTV sebentar tadi.

Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi selama 10 saat memaparkan seorang guru sebuah tadika mencampak seorang murid.

Arjunaidi Mohamed.

Kejadian itu telah menimbulkan rasa marah warganet yang menyifatkan tindakan guru tersebut sebagai tidak wajar dan keterlaluan.

Rata-rata menyuarakan rasa tidak puas hati kerana kejadian itu dan menjadi perdebatan sehingga ada yang menyarankan guru tersebut dikenakan tindakan tegas.

Difahamkan guru tersebut telah diberhentikan serta-merta oleh pihak pengurusan tadika tersebut selepas kes itu menjadi tular.

Baca artikel berkaitan: Kanak-kanak cedera, wanita kurang siuman cucuk guna garpu

Guru itu juga dikatakan merupakan seorang tenaga pelatih dan ia merupakan kejadian pertama seumpamanya berlaku di tadika berkenaan.

Namun usaha UtusanTV bagi mendapatkan pengesahan daripada pihak pengurusan tadika masih gagal.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram