Wanita ini, namanya Nicole Queen. Suatu ketika dahulu ketika berusia 29 tahun, dia pernah menjadi jurugambar kelab malam sewaktu tinggal di Houston, Texas, Amerika Syarikat.

Sejak kecil, Nicole membesar sebagai penganut Kristian Baptist hasil daripada didikan datuk dan neneknya.

Tamat persekolahan di peringkat menengah,  Nicole menyambung pengajian di sebuah kolej tempatan dalam jurusan fotografi. Tamat belajar, dia ditawarkan bekerja sebagai seorang pengurus studio fotografi di New York selama lima tahun.

Berbekalkan pengalaman yang sedia ada, Nicole menjalankan perniagaan sendiri dengan membuka sebuah syarikat fotografi di Dallas. Rezekinya mencurah-curah. Hampir setiap malam Nicole mendapat jemputan untuk mengadakan sesi fotografi di kelab-kelab malam serta pertunjukan artis-artis ternama Hollywood.

Nicole Queen.

Nama-nama besar seperti Owen Wilson, Justin Timberlake dan Katie Hudson bukanlah asing lagi bagi Nicole kerana masing-masing pernah bekerja dalam menjayakan sesi fotografi dengannya.

Kejayaan itu turut mengubah gaya hidup Nicole. Jika dahulu penampilannya biasa-biasa sahaja, dia mula bergaya seksi dan berani, sesuai dengan kerjaya serta status rakan-rakan di sekelilingnya.

Begitu juga dengan rutin harian. Nicole sering melibatkan diri dengan parti-parti liar untuk menghilangkan tekanan setelah seharian penat bekerja.

Lama-kelamaan, Nicole mula tersedar. Dia merasakan pekerjaan itu membuatkan dirinya rosak dan tidak tenang. Walaupun namanya sering menjadi sebutan di kalangan korporat dan selebriti Hollywood, namun ia sedikit pun tidak membuatkan Nicole rasa bersyukur dengan apa yang dikecapinya.

Sebaliknya, wanita ini dihimpit kegelisahan. Hidupnya seperti kosong dan tiada arah tujuan. Ini menyebabkan Nicole sering rasa tertekan, sehinggalah terjadinya satu insiden yang membuatkan dia mula berniat mencari jalan untuk berubah secara perlahan-lahan.

Insiden tersebut berlaku apabila Nicole sedang menghadiri sebuah konsert bintang terkenal Amerika, Justin Timberlake. Setibanya di kelab, Nicole bernasib baik apabila dirinya berada betul-betul bersebelahan Justin yang sedang melakukan persembahan. Ini memudahkan Nicole menjalankan tugasnya untuk mengambil gambar.

Melihat Justin Timberlake yang membuat persembahan membuat Nicole terfikir tentang arah hidupnya.

Suasana di kelab tersebut sesak dengan dibanjiri ribuan peminat Justin. Tidak kira lelaki dan perempuan, masing-masing bergasak dan menjerit-jerit untuk melihat bintang kesayangan mereka dengan lebih dekat. Beberapa orang pengawal peribadi Justin menjerit-jerit kasar supaya menonton berkelakuan baik dan teratur.

Di sebalik kesesakan itu, hati Nicole mula berbisik. Adakah populariti boleh menjamin kehidupan masa depan seseorang itu menjadi lebih baik? Adakah populariti boleh menyenangkan hati seseorang di kala berduka?

Soalan-soalan itu berlegar dan terbawa-bawa di mindanya, hinggakan tidurnya tidak lena apabila teringatkan kembali insiden tersebut.

Nicole menceritakan masalahnya itu kepada seorang rakan, yang kemudian memberi cadangan agar dia menonton syarahan-syarahan agama di Youtube. Sedang asyik menonton itu, hati Nicole mula tertarik dengan Islam apabila seorang bekas paderi Kristian dan pendakwah dari Texas, Yusuf Estes menceritakan kisah keIslamannya.

Nicole tertarik dengan kisah Yusuf Estes, bekas paderi yang memeluk Islam.

Sejak itu, Nicole mula merapatkan diri dengan hadir ke kelas-kelas agama untuk menuntut ilmu Islam. Dan pada April 2007, menyaksikan Nicole mendaftarkan diri sebagai saudara Islam yang baru dengan mengucap dua kalimah syahadah.

Bertempat di pejabat Dr. Yusuf Kavacki sebagai imam, majlis keIslaman Nicole turut dihadiri rakan-rakan sekelas agamanya. Begitu mudah dan pantas sekali Nicole membuat keputusan selepas melihat sendiri kebenaran dan keagungan Islam.

Setelah memeluk Islam, Nicole tekad untuk tinggal bersama keluarga seorang sahabatnya, Hassan, di Amman, Jordan selama sebulan untuk menghayati erti Islam yang sebenar. Di situlah dia mula menyarungkan hijab, berbeza dengan personalitinya sebelum itu.

Sekembalinya ke Dallas, rakan-rakan sepejabat terkejut dengan status baru Nicole. Namun, mereka menerima Nicole dengan terbuka. Kerjaya Nicole juga turut mengalami perubahan. Jika dulu kelab-kelab malam dan parti liar sering menjadi tumpuan, kini lensa kameranya berpaling ke majlis-majlis perkahwinan, pusat kebajikan dan amal jariah.

Selain itu, Nicole juga mula berjinak-jinak dalam bidang motivasi sebagai penceramah di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi. Dengan kelebihan ini, Nicole berjaya menarik ramai gadis Amerika yang sering terjebak dengan gejala moral supaya kembali ke landasan kehidupan yang sebenar.

Nicole bersama suaminya, Hasan dan anak mereka.

Nicole kemudian berkahwin dengan Hassan. Ikatan dan pegangan agama yang kuat antara kedua-duanya membuatkan Nicole mengucapkan syukur kepada Allah kerana diberi kesempatan untuk menyahut Islam pada usia yang masih muda.

Kini, di usia menjengah empat dekad, Nicole hidup dengan tenang di samping suami dan dua anak mereka. Dia masih mengambil gambar, sambil aktif bersiaran di Podcast yang dikendalikannya melalui siaran berjudul ‘Salam Girl’.

Nicole (kiri) kini aktif di siaran Podcastnya berjudul ‘Salam Girl’.

___________________

Baca juga kisah perisik Rusia yang memeluk Islam sebelum kematiannya di sini https://utusantv.com/2021/01/29/kisah-perisik-rusia-yang-memeluk-islam-10-hari-sebelum-kematiannya/

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.