lelaki berjaya tundukkan ifrit

Sambungan dari kisah sebelumnya “pensyarah Bongkar kejahatan makhluk ini. Rupanya orang melayu ramai terpedaya.” Dalam ayat 40 surah An-Naml dinyatakan tentang singgahsana milik seorang ratu bernama Balqis. Siapakah Balqis dan apakah keistimewaan Balqis?

Menurut Ibnu Kathir dan al-Qurtubi dalam tafsir mereka, Balqis adalah anak yang terhasil dari perkahwinan pembesar kerajaan Yaman bernama Syarahil dengan wanita dari bangsa jin bernama Raihanah as-Sakan.

Ilustri pelukis tentang Ratu Balqis

Ibu Balqis mempunyai rupa dan tubuh yang sama seperti manusia. Cuma yang berbeza ialah beliau hanya boleh dilihat oleh suaminya sahaja. Isu perkahwinan antara jin dan manusia ini turut dibahaskan oleh para ulama.

Ada yang mengatakan ia boleh terjadi dan ada yang mengatakannya mustahil. Namun yang pasti, majoriti ulama melarang manusia dari mengahwini bangsa jin.

Bangsa jin yang berkahwin dengan manusia biasanya mempunyai kehidupan seperti manusia, mempunyai kampung halaman, bandar dan struktur pentadbiran. Ada juga antara mereka yang suka berpindah randah.

Hal ini menyamai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Thalabah al Khisyni r.a. di mana Rasulullah s.a.w bersabda,

“Jin terdiri dari tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.”

Orang bunian dari bangsa jin

Dalam masyarakat Melayu, bangsa jin yang mempunyai bentuk seperti manusia dikenali sebagai orang bunian. Dalam kamus Dewan, orang bunian membawa maksud orang halus. Secara ringkas, orang bunian ialah makhluk jin yang mempunyai rupa bentuk seperti manusia tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kewujudan orang bunian bukan sahaja terdapat dalam masyarakat Melayu di Malaysia, tetapi juga di serata dunia dengan nama yang berbeza.

Di sebelah negara Arab, orang bunian dikenali dengan nama Rijalul Ghaib yang membawa makna yang sama iaitu ‘orang yang ghaib’.

Rijal al-Ghaib juga dikenal sebagai orang bunian

Dalam kitab Syarah at-Thohawiyyah fi al-Aqidah as-Salafiyyah, juz 3, halaman 247, dinyatakan bahawa rijalul ghaib adalah bangsa jin. Dalam kitab Majmu’ Fatawa, juz 2 halaman 62, Ibnu Taimiyyah menyebutkan bahawasanya rijalul ghaib adalah bangsa jin yang menyerupai manusia.

Orang bunian boleh dikenali dengan beberapa ciri. Antaranya ialah dari aspek pemakaian. Orang bunian gemar memakai pakaian yang mempunyai satu warna sahaja. Baju, seluar, kain, tudung atau serban semuanya mempunyai warna yang sama.

Mereka juga sukakan bilik yang keseluruhannya dihiasi dengan fabrik berwarna kuning atau putih atau hitam sahaja. Orang bunian juga sangat bersopan dan lemah lembut dalam berurusan tetapi amat mudah berkecil hati. Mereka juga mudah menjadi agresif jika permintaannya tidak ditunaikan.

Orang bunian tidak boleh terbang dan menjelma dalam bentuk lain. Mereka hidup seperti manusia dengan berjalan kaki atau berkenderaan. Ada kalanya mereka menumpang kenderaan manusia, malah dikatakan turut menunaikan haji dengan menaiki kapal sama seperti manusia.

Pengalaman bertemu bunian

Guru saya iaitu Dr. Jahid Sidek Al-Khalidi pernah menceritakan satu kisah benar yang berlaku sekitar tahun 70an. Ada seorang hamba Allah yang berasal dari Kedah pergi menunaikan haji dengan menggunakan kapal laut.

Dalam perjalanan pulang, dia berkenalan dengan seorang jemaah yang berasal dari Muar. Setelah sampai di Malaysia, dia berhasrat menziarahi kenalannya ini. Apabila tiba di Muar, dia meminta pemandu teksi menghantarnya ke alamat kenalannya itu.

Pemandu teksi berasa pelik kerana tiada kampung di kawasan yang hendak dituju itu. Apabila sampai, tiada tanda wujudnya penempatan di situ. Dia gagahi juga berjalan masuk ke dalam semak.

Tiba-tiba, dia menemui kampung dan rumah kenalannya. Kenalannya itu menjemput dia masuk, tetapi ditolaknya kerana lebih suka duduk di tangga bagi mengambil angin. Tersinggung dengan penolakan itu, salah seorang ahli keluarga kenalannya itu menolaknya ke bawah.

Penempatan bunian tidak dapat dilihat oleh pandangan kasar manusia. siapa sangka disebalik belukar ada penempatan bunian

Sebaik terjatuh ke atas tanah, dia dapati rumah dan kampung tersebut sudah ghaib dan sekelilingnya adalah semak dan belukar.

Walaupun banyak diceritakan tentang keindahan alam bunian dan kebaikan mereka, umat Islam perlu mengelak sebarang hubungan dengan makhluk ghaib ini. Dibimbangkan syaitan akan mengambil kesempatan atas kelalaian kita yang menyangka bersahabat dengan jin itu boleh membantu mendekatkan diri kita kepada Allah.

Syeikh Muhyiddin Ibnu al-Arabi menegaskan perkara ini di dalam kitabnya al-Futuhat,

Adapun orang yang bersahabat dengan jin itu tiada beroleh ilmu Allah, kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat-Nya. Dan terkadang orang yang bersahabat dengan jin itu menyangka bahawa segala perkara (ghaib) yang dikhabarkan oleh jin itu adalah karamah daripada Allah Taala baginya. Maka sangkaannya itu adalah batil.”

Lelaki Yang Memiliki Ilmu dari al-Kitab

Watak ketiga yang dinyatakan dalam ayat 40 surah An-Naml pula ialah seorang lelaki yang dikurniakan Allah suatu ilmu dari al-Kitab. Terdapat berbagai-bagai riwayat tentang lelaki ini.

Ada yang mengatakan lelaki itu ialah Jibril, Nabi Khidir dan ada yang mengatakan beliau ialah Nabi Sulaiman a.s. itu sendiri. Namun, pendapat yang paling masyhur beliau adalah Asif b. Burkhiya, salah seorang menteri kepada Nabi Sulaiman.

Asif Burkhiya adalah seorang manusia biasa yang dapat menundukkan kehebatan Ifrit. kredit Yousif SY

Dengan keimanan yang mantap dan kefahaman tentang rahsia-rahsia dari kitab yang diturunkan, beliau mampu mengatasi keupayaan ifrit tadi. Ibnu Ajibah meriwayatkan, Asif berkata kepada Nabi Sulaiman,

“Lemparkanlah pandangan mu sejauh mana engkau mampu.” Maka Nabi Sulaiman pun memandang ke arah Yaman. Maka Asif pun berdoa dengan nama-nama Allah yang Maha Besar iaitu Ya Hayyu Ya Qayyum. Dengan izin Allah, singgahsana Balqis muncul di hadapan Nabi Sulaiman.

Peristiwa luar biasa ini sebenarnya memberi pengajaran kepada kita terutamanya perawat-perawat Islam tentang akhlak sebenar seorang manusia yang benar-benar beriman kepada Allah.

Apabila hajat Baginda a.s. supaya singgahsana tersebut dibawa ke hadapannya termakbul, Baginda terus melafazkan kesyukuran dengan mengatakan, apa yang berlaku adalah kurniaan dan ihsan Allah ke atas Baginda, sedangkan Baginda tidak punya kuasa untuk mengadakannya.

Artikel Berkaitan: Siri 1, Pensyarah bongkar kejahatan makhluk.

Baginya, kehebatan dan keajaiban ini adalah ujian untuk Baginda. Disebabkan itulah, maka Nabi Sulaiman dipuji oleh Allah dalam surah Shad ayat 30 sebagai sebaik-baik hamba.

Dari kisah ini, dapat kita simpulkan bahawa segagah-gagah dan sejahat-jahat jin tidak akan mampu menandingi manusia yang mempunyai keimanan dan tawakal yang tinggi kepada Allah. Kemampuan mengalahkan makhluk tersebut merupakan kurniaan dan rahmat daripada Allah semata-mata.

Ia juga adalah ujian kepada kita sama ada kita akan bersyukur atas pertolongan tersebut atau kita mendabik dada dengan mengatakan bahawa kita mempunyai kuasa untuk menundukkan ifrit tersebut.

Justeru, sama-samalah kita membetulkan tauhid dengan meninggalkan terus perkara-perkara yang membawa kepada kesesatan seperti bersahabat atau berkawan dengan makhluk ghaib terutama ifrit dan hantu raya.

Biarlah kita lebih menepati fitrah kita sebagai manusia yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi. Mudah-mudahan dengan cara ini, Allah akan mengurniakan takwa dan tawakal sebagai bekal menghadapi godaan syaitan.

Dr Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan di Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang

________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram