Abdul Hamid Bador - Gambar Malaymail.com

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu rakyat tempatan, termasuk seorang warga Indonesia ditahan awal tahun ini kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh.

Tiga daripada enam individu ditahan, dikesan mengeluarkan ancaman bunuh kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas menteri Kabinetnya kerana didakwa sebagai kerajaan ‘thoghut’.

Thoghut adalah istilah dalam Islam merujuk kepada sesuatu yang disembah atau ditaati selain Allah.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika tangkapan, dua helai bendera kumpulan Daesh, sebilah parang dan pisau turut dirampas.

“Selain itu mereka juga merancang melancarkan serangan ke atas pusat perjudian di Genting Highlands, Pahand dan kilang arak di sekitar Lembah Kelang,” katanya dalam kenyataan itu.

BERITA BERKAITAN Tidak malu buka pekung demi bersihkan PDRM – IGP

Kesemua mereka yang ditangkap adalah anggota Anshorullah at Tauhid, sel kumpulan Daesh yang ditubuhkan pada Oktober 2019.

Menerusi operasi yang dijalankan Cawangan Khas Bukit Aman, mereka semua ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada 6 serta 7 Januari 2020.

“Kumpulan ini ditubuhkan bertujuan mempromosikan ideologi salafi jihadi, merekrut anggota baharu dan melancarkan serangan di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Abdul Hamid, hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan tidak mempunyai sebarang perancangan dan persediaan untuk membuat serangan berkenaan.

“Justeru, dua suspek tempatan dan seorang suspek Indonesia yang mengeluarkan ancaman berkenaan didakwa di bawah seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana mempunyai milik, jagaan atau kawalan bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas atau perbuatan pengganas dan telah dijatuhkan hukuman penjara.

“Tiga yang lain pula dibebaskan atas arahan timbalan pendakwa raya,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram