ayob makmal2
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini. - Gambar Polis Johor

MODUS operandinya sama, mereka akan menyewa rumah di kawasan yang ‘gated and guarded’ (berpagar dan berpengawal) untuk dijadikan makmal memproses dadah bagi mengelak dikesan oleh pasukan penguat kuasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam dua operasi di kawasan sekitar Iskandar Puteri pada Selasa dan Khamis lalu, polis telah berjaya menumpaskan dua sindiket memproses dadah, termasuk yang digerakkan oleh dua pasangan suami isteri.

Beliau berkata, jumlah rampasan dadah dan sitaan barangan, peralatan, barang kemas dan kenderaan dalam kedua-dua operasi itu bernilai RM2.5 juta.

“Dalam serbuan pada Selasa lalu, seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun telah ditangkap bersama sejumlah rampasan dadah benilai RM1.09 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru hari ini.

Katanya, dengan penahanan lelaki tersebut, polis membuat serbuan susulan dan menangkap dua wanita tempatan berusia 34 dan 35 tahun di kawasan Temerloh, Pahang dan Batu Gajah, Perak pada Rabu lalu.

“Modus operandi kegiatan sindiket dadah ini adalah menyewa rumah jenis berpagar dan berpengawal untuk dijadikan makmal memproses dadah dan siasatan yang dijalankan mendapati sindiket itu telah beroperasi kira-kira setahun yang lalu.

“Dengan tertangkapnya sindiket pengedaran dadah ini, polis berjaya membuat rampasan dadah iaitu 57.83 kilogram (kg) heroin, 4.53kg heroin base dan 77.7kg kafein yang dianggarkan bernilai RM1.09 juta,” katanya.

BERITA BERKAITAN Kisah dua Datuk Seri, satu ditahan satu lagi diburu – Ayob Khan

Dalam serbuan itu, polis turut merampas barang memproses dadah, selain menyita lima buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM16,430, pelbagai jenis barangan kemas, 25 jam tangan dan 15 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM1.1 juta.

“Sindiket pengedaran dadah itu turut mengupah seorang ahli kimia yang berperanan bagi memproses dadah dengan bayaran gaji sebanyak RM10,000 sebulan.

“Lelaki tersebut yang ditahan di makmal memproses dadah itu turut berperanan sebagai penghantar barang (runner) buat sindiket berkenaan,” jelasnya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan dua suspek utama iaitu suami kepada dua wanita yang ditahan di Temerloh dan Batu Gajah sebelum ini.

“Dua suspek itu ialah P. Ram Kumar berusia 37 tahun yang beralamat terakhir di Taman Bestari, di sini dan K. Suresh yang beralamat terakhir di Taman Perling. Suresh yang berusia 41 tahun itu adalah ahli kongsi gelap kumpulan 36 yang pernah dibebaskan sebelum ini.

“Sekarang ini sudah menjadi trend, kebanyakan gangster yang kita sudah tangkap bawah jenayah terancang dulu tetapi dibebaskan selepas dipinda pertuduhan atas Akta Pertubuhan. Inilah mereka aktif semula dengan dadah kumpulan 36,” katanya.

Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Rabu ini, manakala kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 195

Jelasnya lagi, bermula 1 Januari sehingga 25 Mac, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah berjaya membuat tangkapan seramai 3,363 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

Dalam tempoh yang sama, polis juga berjaya membuat rampasan dadah bernilai RM335.03 juta dan turut menyita harta bernilai RM18.48 juta.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram