Sony Music Entertainment mengumumkan pelancaran sebuah label serantau baharu, OFFMUTE yang memberi fokus untuk memperkasakan bakat pendatang baharu dari Asia Tenggara dengan menggunakan pengalaman hasil gabungan seluruh pasukan Sony Music di rantau ini.

OFFMUTE membuka peluang kepada mana-mana artis daripada pelbagai genre untuk memajukan karier muzik dalam mengejar visi kreatif mereka.

Label baharu ini turut memberi sokongan kepada artis-artis serata Asia Tenggara ini dalam mengembangkan capaian muzik mereka.


Menggunakan kepakaran dan sumber terbaik Sony Music di seluruh dunia, OFFMUTE akan membantu mereka meraih pengikut lebih ramai menerusi kaedah rangka promosi dan strategi pemasaran yang rancak.

“OFFMUTE adalah label sulung dalam kategorinya sendiri di dalam dunia. Ia bertujuan
mengangkat kekayaan budaya serta kepelbagaian yang ditawarkan dari Asia Tenggara.

Matlamat OFFMUTE juga adalah menaikkan artis dengan bantuan pakar serta menggunakan jaringan terbaik dalam memastikan mereka berjaya mencipta nama besar di rantau ini.

“Peluang itu semestinya cukup mengujakan buat artis generasi baharu di rantau ini dan kami tidak sabar untuk membantu mereka serlahkan potensi diri pada tahun-tahun mendatang,” kata Presiden Perkembangan Pemasaran dan Strategi, Asia dan Timur Tengah, Shridhar Subramaniam.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Sony Music Asia Tenggara, Ariel Fung,berkata, mereka komited dalam usaha mengukuhkan nama label itu dalam industri muzik global.

“Saya sangat teruja melihat pelancaran OFFMUTE yang menampilkan artis daripada genre yang berbeza dan ada keunikan budaya,gaya tersendiri, serta berpotensi besar untuk pergi lebih jauh

Penyanyi Malaysia, Liesl-mae dipilih melengkapkan senarai bakat muzik dari pelbagai
negara untuk label ini.

Liesl-mae mula mencipta nama dalam industri muzik Malaysia dengan berbekalkan corak nyanyian yang begitu lembut dan cukup merdu.

Dia kini sedang merancang untuk menghasilkan lagu baharu dan berkolaborasi dengan rakan artis di bawal label baharu ini serta mahu memanfaatkan platform terbarunya ini untuk mendidik dan memberi kesedaran mengenai kesihatan mental.

“Saya berbesar-hati dan bertuah Liesl menyertai barisan artis yang kami tampilkan. Kami tidak sabar untuk mengembangkan bakat serta kongsikan kehebatan muziknya di mata dunia,” Aziana Ali, Pengurus Besar Sony Music Malaysia.

Tiga penyanyi dibawah naungan OFFMUTE, (dari kiri) Liesl-mae, Clara Benin dan Mezzaluna

Turut jadi taruhan OFFMUTE adalah penyanyi berbakat besar yang juga penulis lagu,
Mezzaluna. Berasal dari keluarga yang cukup kuat latar belakang muzikalnya, Mezzaluna
berjaya meletakkan dirinya dalam kelas yang tersendiri sekali gus menyerlahkan namanya.

Mezzaluna memiliki vokal yang mendayu, sarat penjiwaan, dan corak penceritaannya mendalam serta peribadi.

Penyanyi Pop Alternatif Indonesia berusia 20 tahun ini melakar namanya sebagai
artis solo yang mampu menghasilkan karya hebat penuh inspirasi serta didengari di seluruh
dunia.

Mezzaluna bakal melancarkan lagu pengenalannya pada tahun ini dan akan diuar-uarkan
OFFMUTE di serata rantau Asia Tenggara.

Dalam pada itu, nama Clara Benin sering menjadi sebutan di Filipina dan bakatnya sangat dikagumi menerusi lagu-lagu yang sarat dengan bait-bait indah serta mendalam.

Clara menerima penstriman lebih 25 juta menerusi platform muzik Spotify dan YouTube selain kerap menjadi pilihan utama beraksi di festival muzik tempatan mahupun antarabangsa.

Dia juga pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Wishclusive Contemporary Folk Performance of the Year untuk lagunya, “I Rose up Slowly”.