Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

KEPEMIMPINAN tertinggi UMNO tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mana-mana parti lain termasuk DAP serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Penegasan itu disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Ia sekali gus menepis dakwaan Anwar sebelum ini bahawa perbincangan dengan UMNO masih lagi berterusan dengan Presiden PKR itu tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menegaskan Barisan Nasional (BN) juga telah memutuskan untuk menghadapai Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) secara bersendirian.

“Perlu saya tegaskan pendirian kita dalam menghadapi PRU-15. Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Tiada Bersatu, tiada Anwar, tiada DAP.

“Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji BN.

Baca artikel berkaitan: Jangan cakap perpaduan ummah kalau hanya tahu ‘memancing’

“Yakinlah! Sesungguhnya cahaya terang-benderang sedang menanti kita di hujung terowong,” katanya disambut sorakan perwakilan yang hadir ke perhimpunan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, memahami realiti politik semasa, BN perlu bersiap siaga dengan UMNO menjadi tunjang dan dominan semula selepas PRU-15.

Bagi merealisasikan hasrat itu, kata Ahmad Zahid, UMNO mesti menguasai banyak kerusi Parlimen manakala BN juga perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas serta jujur membentuk kerajaan.

“Dominan bukan bermaksud kita angkuh. UMNO adalah parti terbesar Melayu dan negara. Apabila UMNO tidak menjadi tonggak kepemimpinan negara ini, rakyat tidak lagi mengecapi kestabilan.

“Selama 22 bulan rakyat merana. Raja-raja Melayu dihina, kepentingan Melayu diketepikan, Islam dicabar, bahasa kebangsaan diremehkan dan aset-aset negara dilelong dengan sewenang-wenangnya.

“Kita bukan ego, kita bukan angkuh. Kita tidak naif. Kita bukan juga anak kecil yang boleh diperlakukan sembarangan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram