kereta api

PROJEK pembangunan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura yang ditangguh pembinaannya telah menyebabkan Malaysia perlu membayar pampasan kepada negara jiran tersebut.

Malaysia telah membayar sebanyak SG$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung membabitkan pembangunan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) serta berkaitan dengan lanjutan penangguhannya.

Bernama.com melaporkan kedua-dua negara terbabit telah mencapai persetujuan berhubung jumlah tersebut susulan proses verifikasi yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia.

Jumlah tersebut juga mewakili penyelesaian penuh serta akhir berkaitan pembatalan Perjanjian Dua Hala bagi projek HSR pada 31 Dis, 2020, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Pengangkutan Singapura dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Singapura turut menegaskan untuk kekal komited terhadap usaha memelihara hubungan baik serta menjalin kerjasama erat bagi kepentingan bersama rakyat masing-masing.

Pembinaan projek HSR sudah dua kali ditangguhkan sejak perjanjian dua hala Malaysia dan Singapura dimeterai pada Disember 2016.

Menurut laporan akhbar, penangguhan kali pertama sehingga Mei lalu menyaksikan Malaysia membayar kos penangguhan sebanyak RM45 juta kepada republik berkenaan.

Kos keseluruhan asal pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer dianggarkan menelan belanja RM110 bilion.