kills driz

Banyak pengalaman yang dilalui oleh penyanyi baharu yang mahu dikenali dengan nama Killa Driz, 22 tahun saat bergelumang dalam industri muzik indie sejak berusia 15 tahun. Pelbagai kisah pahit manis dirasai sendiri sehingga akhirnya mematangkan dirinya.

Membuat persembahan tanpa bayaran, ditipu orang terdekat dan pelbagai perkara kurang manis terkena pada batang hidungnya sendiri, sedikit sebanyak mengajar dia tentang erti kepayahan untuk menempatkan diri dalam muzik.

Mengumpulkan segala rasa dan perasaan tersebut, Killa Driz atau nama penuhnya Muhamad Idris Shah Mohd. Fariz Lean telah menyusun baik segala-galanya ke dalam lagu berentak hip-hop berjudul Siapa Tahu.

“Saya buat sendiri lagu ini pada tahun lalu. Sebenarnya idea ini datang daripada kisah yang pernah dilalui sendiri selama ini. Banyak sangat peristiwa yang kurang manis bermain di fikiran dan saya fikir lebih baik dijadikan sebuah karya.

“Sudah tentu saya bersyukur kerana akhirnya dapat menyiapkan Siapa Tahu yang menceritakan tentang isi hati dan perjalanan hidup saya selama ini.

“Harapnya semua sudi menerima karya ini,” kata penyanyi yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini.

Bercerita apa yang sebenarnya terjadi kepadanya, Killa Driz mengakui sudah merasai pelbagai kisah saat bergelumang di dalam scene indie sebelum ini.

Paling berbekas di hati anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini apabila ‘dikapur’ oleh promoter selepas membuat persembahan tanpa sebarang bayaran.

Tidak cukup dengan itu, undangan persembahan juga pernah dibatalkan saat akhir meskipun sudah berada di lokasi.

“Apabila mereka dapat penyanyi lain yang bernama besar, mereka ‘reject’ saya disebabkan tidak ada nama. Ini sudah biasa berlaku kepada saya dan kawan-kawan yang lain. Bila dikenangkan semula semua itu, ia memang pengalaman yang mematangkan saya.

“Itu belum dikira kisah orang mengambil kesempatan dan sebagainya. Sebab itu saya tulis lagu Siapa Tahu berdasarkan pengalaman tersebut dan berharap dapat memberikan sesuatu kepada pendengar,” tambahnya lagi.

killa driz
Killa Driz pernah lalui pengalaman tidak dibayar selepas buat persembahan


Mengakui lagu tersebut masih mengekalkan sentuhan indie sebelum beralih sepenuhnya kepada mainstream, Killa Driz berharap karya tersebut akan diterima baik oleh peminat indie dan tidak juga terlaku asing untuk pendengar secara keseluruhannya.

Menjadikan beberapa nama besar seperti Joe Flizzow, Sonaone dan Altimet sebagai ikon untuknya berkarya, dia berharap dapat mengikut jejak langkah mereka untuk terus menerobos industri seni tanah air dengan pelbagai kejayaan.

Selain mahukan karya akan datang diterima, dia mahu menjadi penyanyi yang berpengalaman sama ada dalam scene indie mahupun mainstream seperti mana yang dilalui oleh penyanyi lain.

Sepanjang melibatkan diri di dalam bidang nyanyian, Killa Driz juga pernah menghasilkan beberapa buah lagu lain termasuklah Jaga, Menunggumu, Untited 01, Gadai dan Racts.

Menariknya Gadai juga dijadikan runut bunyi untuk filem Marabahaya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Killa Driz juga sudah merakamkan lagu baharu bersama Ryan Deedat dalam yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi selain terlibat dalam projek menghasilkan EP bersama Ismail Izzani.

Single Siapa Tahu dlancarkan secara rasmi pada 19 Mac lalu menerusi semua platform digital. Manakala, video muziknya pula boleh ditonton menerusi saluran Youtube Indigital Music.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi