Jika disebut tentang kisah kapal mewah yang karam, tragedi Titanic yang karam di lautan Atlantik  pada tahun 1912 antara yang paling popular. Malah kisahnya turut diadaptasi menjadi sebuah filem yang mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia.

Tahukah anda, sebelum Titanic karam, terdapat sebuah kapal yang jauh lebih mewah dan kukuh pernah karam pada tahun 1909?


Jika kapal Titanic karam disebabkan perlanggarannya dengan ketulan ais yang besar, berbeza dengan kehilangan kapal mewah ini yang masih menjadi tanda tanya dan misteri sehingga ke hari ini.

Kapal mewah yang diberi nama SS Waratah ini merupakan milik penuh Blue Anchor Ocean Transport Corporation Australia. Nama Waratah dipilih bersempena nama sejenis bunga yang terdapat di kota New South Wales di Australia. Kapal ini berulang alik dari England ke Australia melalui Tanjung Harapan dan Afrika Selatan.

Waratah, kapal mewah yang hilang tanpa dapat dijejaki.

Sehingga kini, masih belum ada jawapan yang tepat tentang kehilangan kapal ini. Tiada bukti kukuh menunjukkan kapal tersebut karam di lautan atau pun kehilangannya disebabkan faktor lain. Ekoran itu, pelbagai persoalan serta andaian muncul daripada pelbagai pihak.

Memiliki kepanjangan lebih 150 meter, Waratah pernah mendapat pengiktirafan sebagai ‘kapal anti tenggelam sepanjang masa’ oleh syarikat pembuatan kapal Barclay, Scotland pada 1908. Justeru, kisah kehilangan kapal tersebut telah menarik perhatian pengkaji bagaimana kapal sekukuh itu boleh karam.

Kisah Waratah bermula sewaktu perlayarannya menuju ke Australia. Ketika dalam perjalanan melewati Afrika Selatan, kapal ini berlabuh sebentar di timur Afsel dan kemudian menuju ke tempat berikutnya iaitu Cape Town.

Daripada keseluruhan penumpang yang menaiki kapal Waratah itu, hanya seorang berjaya ditemui. Penumpang itu adalah Claude G. Sawyer, seorang jurutera yang sering menaiki kapal laut ke serata tempat.

Menurut Claude, dia selamat daripada tragedi misteri itu disebabkan dia tidak meneruskan perlayaran bersama Waratah. Ketika kapal itu berhenti di Durban, Claude mengambil keputusan untuk turun dari kapal itu. Sebabnya kerana Claude mengalami mimpi buruk dan berasa tidak sedap hati terhadap pelayaran kapal itu.

Kata Claude, hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak diingini bakal berlaku. Dia bermimpi, melihat seorang lelaki berpakaian aneh berada bersama penumpang Waratah. Tangan kanan lelaki itu memegang pedang,manakala sebelah lagi tangannya memegang kain yang berlumuran darah.

Claude menganggap mimpinya itu sebagai satu petanda tidak baik, ditambah pula hatinya yang tidak tenang sejak menaiki kapal tersebut, membuatkan lelaki ini mengambil keputusan untuk turun dari Waratah sewaktu berada pelabuhan Durban. Ternyata gerak hatinya itu telah menyelamatkan dirinya.

Kapal Waratah sewaktu berlabuh di pelabuhan Port Adelaide pada tahun 1909, sebelum kehilangannya.

Kapal Waratah meninggalkan Durban pada 26 Julai 1909, bersama penumpang dan krew berjumlah 211 orang. Kali terakhir kelibat Waratah dilihat ialah pada 27 Julai sewaktu melalui sungai Bashee di wilayah Cape Timur, Afrika Selatan. Selepas itu, Waratah terus hilang tanpa dapat dijejaki, tidak diketahui apa yang berlaku pada kapal mewah itu. Kapal itu yang sepatutnya dijadualkan tiba di Cape Town pada 29 Julai, tidak pernah muncul.

Berbagai teori dikaitkan dengan kehilangan kapal ini. Ada yang mengatakan Waratah diterbalikkan oleh satu gelombang besar dari dalam laut sebelum hilang.

Dikatakan juga keadaan kapal itu yang melebihi had muatan sehingga geladaknya tertekan ke bawah menjadi punca ia karam.

Pada tahun kedua selepas insiden tersebut, satu gerakan pencarian selama tiga bulan telah dilakukan oleh ahli keluarga penumpang yang hilang. Tetapi tiada satu pun petunjuk berjaya ditemui. Begitu juga dengan Angkatan Laut Kerajaan Australia yang diarah mencari kapal itu, turut menemui jalan buntu.

Pada tahun 1962, seorang juruterbang yang ketika itu berada di atas permukaan laut Afsel telah ternampak sosok kapal samar-samar tenggelam di dasar laut. Ahli ilmu bumi Afrika Selatan, Peter Lamuzy menjalankan operasi pencarian dan ramai mengandaikan sisa itu milik kapal Waratah. Namun dua tahun selepas itu, ternyata sisa kapal yang ditemui itu merupakan kapal selam jenis U milik tentera Jerman yang karam ketika Perang Dunia ke-2.

Kehilangan Waratah terus menjadi tanda tanya.

Manakala di bawah dana Crayfe Casler, seorang penulis buku pencarian kapal Titanic, telah mengupah sepasukan penyelidik dengan menggunakan kapal selam yang diubahsuai menggunakan teknologi paling canggih di dunia pada ketika itu cuba menjejaki posisi sebenar kapal tersebut.

Mereka melakukan pencarian di pesisir pantai Afrika Selatan untuk mencari sisa-sisa kapal persiaran tersebut. Pun sama, misi ini gagal kerana tiada sebarang sisa milik Waratah yang berjaya ditemui.

Walaupun begitu, ramai berpendapat terutamanya ahli pencari dan penyelamat bencana laut, kemungkinan kapal tersebut ditarik ke dalam sebuah pusaran misteri ditengah samudera, dan itu merupakan sesuatu yang tidak boleh dilawan oleh kuasa manusia.

Tak kurang juga yang membuat andaian kapal itu telah belayar masuk ke sebuah dunia misteri. Walau terdapat pelbagai andaian, kehilangan kapal Waratah ini terus kekal misteri sehingga ke hari ini.

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.