hukum haram walimatul urus

Sehari dua ni ramai juga selebriti yang mendirikan rumah tangga. Ada yang bernikah secara kecil-kecilan sahaja. Malah ada juga yang mengadakan majlis secara besar-besaran sehingga menggunakan 4 tan bunga hidup semata-mata untuk dekorasi majlis pernikahan.

Apa lagi minggu ini kan cuti sekolah, jadi ramailah juga yang mengambil kesempatan untuk mendirikan masjid. Lagi pula Kerajaan sudah memberi lampu hijau untuk mengadakan majlis perkahwinan atau majlis-majlis lain. Apa yang penting SOP perlu dijaga tertakluk dengan syarat-syarat yang ditetapkan Kerajaan.

Majlis pernikahan atau walimatul urus adalah jamuan makan meraikan pasangan pengantin bergelar raja sehari, selain sebagai hebahan kepada masyarakat bahawa si fulan ini sudah berumah tangga.

Di dalam Islam terdapat adab-adab dan hukum hakam yang telah ditetapkan agar majlis tersebut mendapat keredaan Allah S.W.T. dan pasangan pengantin diberkati Allah antaranya,

Hukum Harus

Harus melaksanakan walimatul urus ketika akad nikah, atau sesudahnya atau ketika datang kepada isteri mahu pun sesudahnya. Sesuai dengan adat dan tradisi yang berlaku dalam masyarakat setempat.

Hukum Wajib

  • Majlis walimatul urus adalah wajib dilaksanakan oleh pihak suami.
  • Wajib menghadiri undangan walimatul urus apabila yang mengundangnya seorang muslim. Dan jika diundang secara khusus (tetamu utama atau VIP) hendaknya datang pada hari pertama atau awal waktu jika tiada halangan.

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

Apabila salah seorang dari kalian diundang, maka wajib datang. Apabila sedang berpuasa hendaklah mendoakannya, dan apabila tidak berpuasa maka hendaklah makan.” – HR Muslim.

Hukum Sunat

  • Disunatkan sekurang-kurangnya menyembelih seekor kambing atau juga mengikut kepada kemampuan. Namun dalam Islam tidak boleh dibuat secara berlebih-lebihan sehingga berlaku pembaziran atau perkara yang sia-sia.  
  • Disunatkan mengundang orang-orang yang soleh, samada dari kalangan orang fakir miskin dan yang berkemampuan.
  • Disunatkan melaksanakan majlis selama 3 hari setelah suami (menggauli) isterinya. Dan boleh menyediakan apa pun jenis makanan yang halal.
  • Disunatkan bagi orang yang kaya agar menyumbangkan harta mereka untuk perlaksanaan majlis walimatul urus.
  • Disunatkan mengumumkan pernikahan dan dibolehkan bagi kaum wanita mengumunkan pernikahan dalam majlis dengan memukul rebana sahaja. Malah boleh juga dengan alunan syair-syair atau qasidah yang indah tanpa ada ayat-ayat godaan atau perkataan yang buruk (jelek).
  • Disunatkan bagi tetamu mendoakan tuan rumah seperti doa yang diajar Baginda s.a.w.

Ya Allah! Berikanlah keberkahan bagi mereka atas apa yang telah Engkau anugerahkan kepada mereka, ampuni dan kasih sayangilah mereka.” – HR Muslim

Ya Allah! Berikanlah makan orang yang telah memberi makan kepadaku, dan berilah minum orang yang telah memberi minum kepadaku.” – HR Muslim

  • Disunatkan makan jamuan walimatul urus. Bagi orang yang berpuasa wajib, hendaklah datang kemudian mendoakan pasangan dan terus balik. Manakala bagi yang berpuasa sunat, hendaklah memenuhi undangan dan berbuka bagi menjaga perasaan tuan rumah dan menyenangkan hati mereka.
  • Disunatkan mengucapkan salam dan duduk sehingga acara selesai. Pemimpin majlis atau pihak tuan rumah memberikan sambutan yang hangat dan apabila pulang ucapkanlah salam.
  • Apabila orang yang diundang mengetahui adanya kemungkaran dalam majlis tersebut dan dia mampu mengubahnya, hendaklah datang dan mengubahnya. Tetapi jika dia tidak mampu mengubahnya, maka wajib tidak hadir.
  • Namun apabila dia datang dan melihat kemungkaran serta mampu mengubahnya maka hendaklah mengubahnya. Tetapi jika tidak mampu mengubahnya, hendaklah dia segera meninggalkan majlis.

Hukum Haram

  • Haram mengkhususkan undangan hanya untuk orang-orang kaya sahaja tanpa mengundang orang miskin.
  • Diharamkan berlebih-lebihan dalam aspek makanan, minuman, pakaian serta menggunakan alat-alat muzik.
Haram hukumnya bila ada nyanyian dalam majlis kahwin yang berunsur godaan atau rayuan.

Sungguh suatu kaum yang makan, minum dan bercanda (berlebihan) sehingga di pagi hari mereka dikutuk menjadi kera dan khinzir. Diriwayatkan dari Umran bin Hashim r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

Terdapat pada umat ini kehinaan, pencemaran (bencana) dan fitnah” salah seorang sahabat bertanya, “bila hal itu terjadi ya Rasulullah?” Beliau berkata, “apabila telah nampak biduanita, alat muzik dan arak diteguk.” – HR at-Tirmizi

  • Haram di dalam majlis tersebut mengandungi nyanyian yang menggoda atau memujuk rayu, malah dinyanyikan pula oleh penyanyi wanita. Lebih elok jika dialunkan lagu-lagu selawat memuji Baginda s.a.w. atau lagu nasyid.

Semoga adab dan hukum-hakam yang dikongsikan ini sedikit sebanyak menjadi panduan kepada pasangan pengantin dan juga tetamu tatkala di majlis walimatul urus.

Dipetik dari karya Syaikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdullah at-Tuwajiri (Ensiklopedia Islam al-Kamil)

__________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram