Secara logiknya, kita akan meraikan dengan gembira hari perkahwinan. Tetapi berlainan di sebuah kawasan di selatan China.

Perkahwinan dalam masyarakat Tujia di daerah ini diadakan dalam keadaan menangis. Memang pelik, namun budaya ini dikatakan telah wujud sejak sekian lama dahulu sehingga ke akhir pemerintahan Dinasti Qing (1644-1911).

Peredaran zaman telah menjadikan budaya kahwin menangis ini semakin kurang diamalkan. Tetapi, masih terdapat segelintir individu yang mengamalkan budaya aneh ini. Mereka percaya adat ini berkemampuan untuk mengukur tahap kebahagiaan rumah tangga yang bakal dibina. Semakin dasyat wanita itu menangis, bermakna semakin bahagia dan gembira perkahwinan mereka kelak.

Perkahwinan kaum Tujia.

Budaya ini akan mula dilakukan sebulan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan. Bermula dari kiraan masa hari pertama memasuki bulan tersebut, pengantin perempuan wajib melalui adat yang disebut sebagai ‘Zuo Tang’ yang bermaksud duduk di dalam dewan.

Adat ini perlu dilakukan berhari-hari sehingga tiba ke tarikh berlangsungnya majlis. Bagaimanapun, pengantin perempuan hanya bersendirian ketika menangis pada 10 hari pertama. Pada hari ke 11, pengantin wanita akan disertai oleh ibu kandungnya untuk sama-sama menangis sehingga sampai ke hari perkahwinan.

Selepas 20 hari, pengantin wanita akan menerima penyertaan baru iaitu dari neneknya pula. Tidak hanya itu, sekiranya dia mempunyai adik-beradik perempuan serta ibu saudara, mereka juga diwajibkan untuk menyertai adat menangis ini sehingga tiba pada hari perkahwinan.

Semasa menangis, mereka yang terlibat tidak lekang dari sapu tangan sambil sesekali mengesat air mata yang mengalir.

Cara menangis pula tidak ditentukan secara khusus. Mereka diberi kebebasan dengan kaedah menggunakan pelbagai ayat semasa menangis. Maksudnya, mereka dibenarkan untuk melaungkan sebarang jenis perkataan semasa dalam adat tersebut. Ia dianggap sebagai ‘lagu perkahwinan menangis’ dan dipercayai membawa suasana yang baik semasa ia dilaksanakan.

Nyanyian tersebut ditujukan kepada ibu bapa, adik beradik lelaki dan wanita, nenek moyang dan tukang pencari jodoh. Mereka perlu melagukan iramanya dengan menggunakan nada sedih dan hiba seolah-olah sedang meratapi perkahwinan. Suasana berkenaan dikhabarkan begitu sedih sehingga individu yang berhati keras sekalipun akan mengalirkan air mata.

Tradisi aneh kaum Tujia.

Dalam pada itu, sekiranya seseorang pengantin wanita itu tidak menangis seperti yang dikehendaki, seluruh tetangga akan memandang serong terhadap dirinya. Malah, dia akan menjadi bahan ketawa orang ramai. Keadaan tersebut secara tidak langsung menjadi antara penyebab mengapa golongan mempelai wanita menangis dengan bersungguh-sungguh.

Adat kahwin menangis ini dikatakan mendapat penyertaan tinggi daripada golongan wanita yang bukan pengantin. Kumpulan wanita ini juga akan menangis dengan teresak-esak semasa berlangsungnya majlis.

Tangisan mereka dikatakan benar dan bukan dibuat-buat kerana berkaitan dengan alasan peribadi. Antara punca mereka terlalu sedih adalah disebabkan oleh ketidakpuasan hati terhadap rumah tangga sendiri. Ada juga di antara mereka yang berasa kecewa akibat kegagalan perkahwinan masing-masing.

Untuk memperoleh perasaan sedih ketika menjalani adat ini, kaum wanita telah dilatih terlebih dahulu sejak berusia 12 tahun. Selalunya keluarga akan menjemput individu yang pakar untuk melatih anak-anak mereka menangis sehingga berumur 15 tahun.

Setelah itu, golongan remaja perempuan akan berlatih sesama sendiri sebelum mengajak rakan-rakan yang lain untuk turut sama melihat siapa yang mampu menangis dengan baik.

Menurut sumber budaya China, adat kahwin menangis ini berasal daripada sistem perkahwinan tidak berhati perut suatu ketika dahulu. Disebabkan gadis dipaksa berkahwin bukan atas kerelaan sendiri, maka berlakulah suasana tangisan berhari-hari oleh pengantin perempuan. Mereka menyanyi dan menangis dalam masa yang sama sebagai tanda mengecam tindakan memaksa mereka berkahwin.

Tetapi ada juga sesetengah pendapat lain mendakwa ia berasal dari sebuah cerita lama. Kononnya dahulu terdapat seorang puteri dari negeri Zhao yang berkahwin dengan putera negeri Yan.

Pemergian anaknya mengikut suami menyebabkan si ibu menangis teresak-esak semasa majlis. Tidak hanya itu, dia turut berpesan supaya anaknya segera pulang untuk melawat dirinya.

Sehingga kini, meskipun golongan wanita sudah bebas memilih pasangan hidup untuk berkahwin dengan gaya lebih moden, segelintir masyarakat Tujia masih kekal mengamalkan tradisi kahwin menangis ini.

__________________

Baca juga kisah amalan aneh rahib yang memumiakan diri sendiri di https://utusantv.com/2021/02/22/sokushinbutsu-amalan-aneh-rahib-yang-memumiakan-diri-sendiri/

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.