
UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) mengukuhkan jalinan kerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk mengembangkan penyelesaian digital dalam operasi penyelenggaraan lebuh raya bagi memberikan perkhidmatan operasi dan tahap keselamatan terbaik kepada pengguna.
UEM Edgenta, menerusi anak syarikatnya di bahagian Infrastructure Solutions, Edgenta PROPEL Berhad, telah menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan lebuh raya kepada PLUS sejak 1988 dengan melaksanakan pelbagai inisiatif teknologi berinovatif bertujuan meningkatkan tahap kecekapan operasi dan standard keselamatan di lebuh raya.
Penggunaan teknologi canggih seperti Internet of Things (“IoT”) dan pembelajaran mesin (machine learning) telah membolehkan UEM Edgenta menambah baik kualiti perkhidmatannya dan membuat analisis ramalan melalui data masa nyata yang berpusat di Command & Contact Centre (“CnC”), kata syarikat itu melalui kenyataan media.
Melalui penggunaan teknologi tersebut, syarikat itu di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur akan memanfaatkan analisis ramalan untuk mengenal pasti potensi kerosakan dan menambah baik perkhidmatan penyelenggaraan secara berkala ke arah pengurusan aset yang lebih bijak.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, melalui penggunaan teknologi terkini, syarikat telah membangunkan sebuah sistem yang dikenali sebagai Road Asset Management System (“RAMS”) untuk membolehkan mereka merancang aktiviti penyelenggaraan jalan raya dalam menguruskan lebih daripada 1,000 kilometer aset lebuh raya bagi PLUS.
“Kelebihan utama sistem ini, bersama gabungan pengalaman dan pengkhususan kami, membolehkan kami untuk membuat perancangan pengurusan aset jangka panjang dan mengekalkan masa kerja penyelenggaraan yang optimum di beberapa lokasi,” katanya semasa lawatan tapak bersama pihak pengurusan UEM Edgenta dan PLUS ke Bertam, Pulau Pinang, semalam.
BERITA BERKAITAN UEM Edgenta tumpu teknologi, model perniagaan baharu
Oleh kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengehadkan perjalanan rentas negeri di seluruh negara, dan dengan pengurangan penggunaan lebuh raya telah membolehkan PLUS dan UEM Edgenta mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti penambahbaikan yang berterusan dan kajian penanda aras baharu untuk meneroka serta menetapkan standard keselamatan dan operasi yang dipertingkatkan.
Antara pelan penambahbaikan yang diperkenalkan berikutan kajian yang dijalankan dari tahun 2019 hingga 2020 adalah
- memperkemaskan Perjanjian Tahap Perkhidmatan antara Perjanjian Penyelenggaraan Induk PLUS dan standard tahap perkhidmatan M1 Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM);
- menubuhkan kit penyelenggaraan ‘Desired Service Level’ penggabungan aktiviti-aktiviti penyelenggaraan;
- penilaian penggunaan aset sebagai ‘Traffic Light Concept’ di samping merasionalisasikan tahap penggunaan peralatan dan barang habis pakai serta
- kontrak berdasarkan output (output based contracting).
Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, rangkaian lebuh raya antara bandar syarikat itu merupakan nadi penghubung utama negara,dan menyumbang kepada rangsangan pertumbuhan ekonomi, terutamanya ketika fasa pemulihan negara.
“Sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga aset ini, PLUS komited untuk terus menyampaikan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya bagi tujuan komersial mahupun santai,” katanya.
Mengulas mengenai aspirasi yang diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam pelancaran Pelan Organisasi Strategik untuk Kementerian, Datuk Azman mengharapkan kerjasama erat antara PLUS dan UEM Edgenta untuk mendukung salah satu aspirasi utama Kementerian bagi ‘meningkatkan tadbir urus organisasi dalam memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.’
“Rangkaian rakan perkhidmatan penyelenggaraan lebuh raya UEM Edgenta mempunyai lebih daripada 200 syarikat Bumiputera yang berpengalaman dan berkebolehan yang telah berkembang secara mampan bersama PLUS selama lebih 30 tahun, dalam menyelenggara aset kami dan memastikan lebuh raya sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk kemudahan para pengguna kami.
“Kami amat menghargai mereka sebagai pihak berkepentingan utama dalam rangkaian kami dan akan sentiasa memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dijaga, terutama dalam tempoh peralihan pasca pandemik ini,” tambahnya.
Bagi UEM Edgenta, Syahrunizam berkata bahawa Syarikat juga berminat untuk memanfaatkan pangkalan pengetahuannya dan menyokong kerajaan, syarikat tempatan dan PKS yang beroperasi dalam ekosistem pengurusan infrastruktur dan fasiliti untuk merealisasikan satu lagi aspirasi yang diumumkan oleh KKR – ‘untuk memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur.’
Katanya, sebahagian besar pangkalan pelanggan syarikat itu yang pelbagai di Malaysia beroperasi di bawah kendalian KKR, dan dikawal selia oleh agensi Kementerian, termasuklah Jabatan Kerja Raya (JKR), LLM serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
“Kami berbesar hati untuk menerajui usaha bagi mempertingkatkan kemampuan sumber dan PKS yang beroperasi dalam sektor ini, terutama dengan berkongsi pengalaman kami berkaitan penyelesaian teknologi dalam industri ini. Kami juga mempunyai Leadership Centre yang mapan di Lembah Klang yang menjadi pusat utama untuk usaha ini dan akan mencadangkannya kepada KKR untuk memperkembangkan potensi dalam bidang ini,” katanya.
UEM Edgenta dan PLUS juga komited untuk memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab menerusi pelbagai program, termasuk memberi sumbangan insentif tunai kepada petugas-petugas barisan hadapan penyelenggaraan lebuh raya sebagai tanda menghargai sumbangan mereka sepanjang pandemik ini.
Di samping itu, UEM Edgenta baru-baru ini telah melaksanakan ujian saringan COVID-19 kepada semua petugas barisan hadapannya di seluruh negara, termasuklah di bahagian Healthcare Support Services (“HSS”) dan Property & Facility Solutions (“PFS”), antara sebahagian daripada komitmennya untuk memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa perkhidmatan yang diberikan oleh Syarikat adalah selaras dengan protokol kesihatan dan keselamatan semasa.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram