ainul aishah

SETELAH empat tahun menyulam cinta, pelakon Ainul Aishah membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya, Khalid Redzuan pada hujung minggu lalu.

Dedah, Ainul,36, dia yakin tunangnya itu adalah bakal suami yang tepat untuk dirinya memandangkan mereka sudah saling lama mengenali hati budi masing-masing.

Jelas Ainul atau Ainul Aishah Azizun, sikap Khalid yang pandai mengambil hati dan sering mengutamakan waktu solat, membuatkan dia yakin lelaki itu mampu membimbingnya.

“Dia seorang yang tak pernah berputus asa untuk mengambil hati saya. Malah, dia juga pandai memujuk jiwa perempuan seperti saya ini.

“Selain itu, sikap mengutamakan keluarga, bertanggungjawab dan seorang yang tahu mengenai bab agama, antara faktor mengapa saya pilih dia sebagai bakal suami saya kelak,” katanya ketika dihubungi URTV.

ainul aishah
Pasangan ini bakal melangsungkan pernikahan sekitar Oktober hingga Disember

Ujar pelakon Seribu Rindu itu lagi, majlis pernikahan dia dan tunangnya bakal berlangsung pada hujung tahun ini.

“Kami rancang untuk berkahwin pada hujung tahun ini iaitu antara bulan Oktober hingga Disember.

“Saya memang dah lama bersedia untuk bergelar seorang isteri, cuma baharu kini Allah tetapkan waktunya untuk saya mengakhiri zaman solo, saya terima dengan sebaiknya,” jelasnya.

Ainul dan Khalid menjalinkan hubungan cinta sejak April 2017 setelah menerima mesej langsung (DM) menerusi akaun Instagram miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN : Tahniah! Pelakon Ainul Aishah dah bertunang

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

TONTON VIDEO PILIHAN: