berhati-hati dengan bangsa rom
Asal usul bangsa Rom yang dikatakan berhijrah ke Eropah. Foto: maubacacom

“Kamu sekalian akan berdamai dengan orang-orang Rom dengan perdamaian yang sentosa dan kamu bersama mereka akan mengalahkan musuh yang ada di belakang mereka, lalu kamu selamat dan mendapat harta rampasan perang.

Kemudian kamu singgah di suatu padang rumput yang berbukit-bukit. Tiba-tiba bangkitlah seorang lelaki Rom lalu mengangkat salib seraya berkata, “Salib lebih unggul.” Lalu dihampirilah dia oleh seorang lelaki dari kaum Muslimin lalu dibunuhnya.

Mulai saat itulah orang-orang Rom berkhianat dan terjadilah peperangan-peperangan sengit. Mereka menghimpun kekuatan menyerang kamu sekalian lalu datanglah mereka kepadamu dengan lapan puluh bendera setiap bendera disertai dua belas ribu orang (tentera).” – (HR Imam Ahmad)

Selanjutnya di dalam hadis yang lain pula dari Al-Mustaurid Al-Qurasyi berkata,“Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kiamat akan terjadi di kala orang-orang Rom merupakan bangsa teramai.”

Siapa sebenarnya bangsa Rom yang dimaksudkan oleh Rasulullah? 

Perbincangan mengenai siapakah bangsa Rom dikongsi bersama dua pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) iaitu Mohd. Khafidz Soroni dan Suriani Sudi. Satu perbincangan yang cukup menarik dan membuka minda untuk berfikir di mana kedudukannya umat Islam di akhir zaman.

Sebagai memulakan bicara, Mohd. Khafidz menerangkan terlebih dahulu siapa bangsa Rom yang disebut di dalam hadis di atas. Asal bangsa Rom mencetus perselisihan pendapat di kalangan ahli sejarah.

Menurut pendapat At Tabari, bangsa Rom adalah keturunan Yafits bin Nuh.  Manakala Al-Yakubi pula mengatakan bahawa bangsa Rom adalah keturunan Ruum bin Samahir yang sampai kepada susur galur keturunan Nabi Ibrahim. Nama Rum adalah nama orang daripada keturunan nabi Ishaq  bin Ibrahim a.s.

Banyak pandangan diutarakan oleh cendekiawan tentang asal usul Bangsa Rom.

Manakala menurut Ibnu Katsir, di dalam hadis itu, bangsa Rom adalah dari keturunan al-Aish bin Ishaq bin Ibrahim. Al-Aish adalah saudara kandung Isra-il (Nabi Yakub). Dengan demikian bangsa Rom adalah sepupu bani Isra-il. Mereka sering disebut sebagai bani al-Ashfar. Pendek kata Rom itu adalah nama orang yang berasal dari keturunan Nabi Nuh.

Begitu juga pendapat Yakut Al Hamawi, bangsa Rom adalah keturunan Nabi Ishaq. Manakala Ibnu Hajar memilih pendapat bahawa bangsa Rom itu adalah keturunan Rum bin al-Aish bin Ishaq bin Ibrahim. Dari kebanyakan pendapat tadi maka boleh disimpulkan bahawa mereka ada keturunan Nabi Nuh. 

Apabila zaman berlalu hingga sampai kepada Rasulullah, disebut orang-orang Rom adalah merujuk kepada orang-orang Roman di empayar Rom. Ketika itu empayar Rom sangat besar meliputi Jordan, Greek , Turki dan Itali hingga ke benua sebelah barat sempadan Eropah. Manakala empayar Parsi berada di sebelah timur. Apabila disebut Rom itu adalah Roman atau empayar Byzantine.

Berdasarkan surah ar-Ruum, bangsa Romawi adalah merujuk kepada bangsa yang dikalahkan oleh Parsi.

Kemudian kita kembali pada situasi yang berlaku semasa zaman Rasulullah, bangsa Rom berada di sebelah Barat dan Eropah. Pada ketika itu benua Eropah, Greek, Itali dan Athen yang sudah bertamadun manakala bahagian Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat belum wujud lagi, mereka masih di dalam zaman kegelapan. Kemudiannya bangsa Rom inilah yang memajukan benua Eropah Utara dan Amerika.

Bangsa Rom yang bermastautin ke Eropah dan Amerika sekarang.

Sekarang ini apabila kita sebut bangsa Rom maka kita tidak boleh maksudkan dengan penduduk bandar Rom di Itali.

Hadis itu merujuk kepada bangsa Eropah dan Barat yang berkulit putih. Ia termasuklah Amerika Syarikat yang berasal dari satu keturunan sama.

Apabila Nabi sebut kita akan berperang dengan bangsa Rom, ia adalah merujuk kepada bangsa Eropah dan Amerika Syarikat yang beragama Kristian. Sebenarnya ada tiga agama samawi terbesar  di dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

Buat masa ini agama yang terbesar adalah Kristian. Peperangan itu adalah antara orang Islam dengan orang Kristian namun Nabi s.a.w. tidak menyebutnya sebagai bangsa Kristian sebaliknya menyebutnya sebagai bangsa Rom. Di situ bangsanya telah berubah walaupun agamanya Kristian. Namun pada hakikatnya tentera Islam akan memerangi orang Kristian.

Kenapa Nabi sebut orang Yahudi sebagai Yahudi, sebaliknya Kristian tidak disebut sebagai orang Kristian tetapi Nabi menyebutnya sebagai bangsa Rom?

Untuk menjelaskannya Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan Sunah, Suriani Sudi mengatakan bahawa Yahudi adalah satu bangsa dan agama sekali. Namun mereka tidak menyebarkan agamanya kepada orang lain. 

Yahudi itu bangsa dan agama untuk orang terpilih saja. Manakala Kristian adalah agama tetapi negaranya banyak dan bangsanya ramai serta berbilang kaum. Ada bezanya antara Yahudi dan Kristian. Orang Yahudi sifatnya lebih keras berbanding orang Kristian lebih lembut.

Orang Yahudi sifatnya lebih keras berbanding orang Kristian

Kemudian Mohd. Khafidz Soroni menambah, bangsa Rom itu akan diperangi oleh orang Islam semasa Imam Mahdi. Sebahagian bangsa Rom itu akan beriman, apabila Nabi Isa turun. 

Sebagaimana yang disebut, “Kiamat tidak akan terjadi sehingga bangsa Rom singgah di Al-A’maq atau di Dabiq. Lalu mereka diserbu oleh bala tentera dari Madinah, yang merupakan penduduk dunia yang terbaik waktu itu apabila mereka telah berbaris rapi maka berkatalah orang-orang Rom,

“Biarkan kami berperang melawan orang-orang yang telah menawan orang-orang kami.” Jawab  kaum Muslim, “Demi Allah! kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami.”

Maka kaum Muslimin pun menyerbu mereka, lalu pada satu pertiganya yang mundur. Mereka tidak akan diterima taubatnya oleh Allah selama-lamanya.

Ada satu pertiga lagi yang terbunuh, mereka adalah para syuhada yang terbaik di sisi Allah. Sedang satu pertiga yang lain mendapat kemenangan. Mereka tidak akan mendapat bencana selamanya.

Merekalah yang dapat menakluki Kostantinopel. Namun ketika mereka membahagi-bahagi harta rampasan perang, sementara pedang-pedang mereka digantungkan di pokok zaitun tiba-tiba syaitan berteriak bahawa Dajjal telah menguasai, menyerang keluarga mereka.

Oleh sebab itu mereka pun keluar. Padahal itu semua tidak benar. Lalu tatkala mereka memasuki negeri Syam, ternyata Dajjal telah keluar. Maka tatkala mereka bersiap sedia untuk berperang dan merapatkan barisan, tiba-tiba dikumandangkan iqamatus-sholah.

Nabi Isa turun untuk menghapuskan Dajal

Maka turunlah Nabi Isa lalu mengimami mereka. Apabila musuh Allah itu melihat Nabi Isa maka dia meleleh seperti cairnya garam dalam air. Andai kata dia dibiarkan tentu akan benar-benar mencair sehingga mati. Akan tetapi Allah membunuh dia dengan tangan Nabi Isa. Lalu Nabi Allah itu memperlihatkan kepada kaum Muslimin darah Dajjal pada tombak yang dipegangnya.”

Sebab itulah Nabi sebut bahawa bangsa Rom itu ramai kerana setalah menempuh beberapa peperangan pun masih ada ramai lagi tentera yang tinggal. Sebelum berperang dengan bangsa Turk tentera Islam telah berperang dengan bangsa Rom.

Secara luarannya, bangsa itu memang baik dan tidak nampak taringnya lagi. Mereka tidak seperti bangsa Yahudi yang memang kelihatan ganas dan kejamnya. Orang Kristian ini tidak berperang secara nyata sekarang ini sebaliknya hanya menjalankan misi pengkristianan secara halus dan senyap.

Bersambung…

Artikel Berkaitan: Siri 2, kerana ciri-ciri inilah baginda s.a.w. sebut bangsa rom menjadi bangsa terkuat dan teramai berbanding umat-islam

________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram