Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim. GAMBAR: Abd Razak Aid

KONFLIK dalaman sedang dihadapi UMNO bukan lagi rahsia yang boleh ditutup parti Melayu terbesar negara itu bahkan isu tersebut juga dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 hujung minggu lalu.

Walaupun sebulat suara menyokong usul memutuskan kerjasama politk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, namun ‘keretakan’ dalaman UMNO masih belum lagi pulih.

Bagi menamatkan konflik tersebut, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berpandangan pemilihan parti patut diadakan mengikut jadual menjelang Jun ini bagi mengembalikan semula permuafakatan dalam UMNO.

Pemilihan bagi memilih pucuk pimpinan parti kata Norshida juga akan membuatkan UMNO lebih bersedia untuk menghadapi PRU-15 yang mana akan ditandingi secara bersendirian seperti diputuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu.

“Benda itu (pemilihan) sama ada kita nak atau tak, suka atau tak, kita kena buat. Mungkin pihak Presiden UMNO atau parti boleh memohon untuk kita tangguhkan tetapi kita tak tahu apa jangkaan akan berlaku.

“Sebab kita ini adalah kerajaan campuran dan UMNO sebahagian daripadanya. Saya rasa lebih elok fokuskan kepada pemilihan untuk kita pilih pemimpin baharu. Kita mahukan seseorang berkaliber menjadi pemimpin dalam parti,” katanya kepada media ketika ditemui semalam.

Baca artikel berkaitan: Khairy ulas Najib: “Tangguh pun UMNO lingkup juga”

Mengulas lanjut, Norshida berkata, proses penjenamaan semula parti perlu dilakukan dan untuk itu pemilihan perlu diadakan bagi memberi pendekatan lebih terbuka kepada semua ahli UMNO.

Katanya, mandat perlu diberi kepada perwakilan bagi membolehkan UMNO kembali stabil dalam ketidaktentuan politik ketika ini.

“Kita mahu pemimpin yang membawa dan mendengar suara kita, suara rakyat. Pemimpin yang membawa suara anak muda dan memberi kepercayaan kepada anak muda untuk mereka sayang kepada parti.

“Sekarang ini, anak muda tak nampak parti ini berjasa kepada mereka. Mereka tak mahu lagi dengar tentang sejarah kerana hanya mahu pandang ke hadapan. Anak muda ini penentu masa depan kita,” jelas beliau.

Kelmarin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin mendesak supaya pemilihan parti diadakan segera kerana berpendapat ia merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman UMNO.

Kata Khairy, UMNO mesti menghadapi PRU-15 dengan kepimpinan yang mempunyai mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat.

Kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan adalah pada akhir Jun 2018 yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi jawatan Presiden antara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy sendiri.

Cadangan Khairy itu bagaimanapun tidak dipersetujui Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berpandangan pemilihan UMNO sebelum PRU-15 hanya akan mencetuskan perpecahan sekali gus melemahkan parti kerana dikhuatiri akan ada pihak ‘melompat’ menyertai parti lain selepas tewas.

Kenyataan tersebut dibalas Khairy yang mengatakan walaupun UMNO menangguhkan pemilihan parti selepas PRU-14 pada 2018, parti itu tetap ‘lingkup’.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram