PENULARAN pandemik Covid-19 sememangnya menjadi tempoh mencabar kepada kerajaan kerana melibatkan nyawa dan menjejaskan ekonomi negara.

Atas dasar itu, demi menyelamatkan nyawa rakyat dan mengukuhkan semula ekonomi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas kerajaan tidak akan teragak-agak dan bersedia untuk berbelanja besar menghadapi Covid-19.

Muhyiddin memaklumkan, kerajaan telah berbelanja besar untuk membeli ubat-ubatan, memastikan katil hospital mencukupi dan menambah bilangan doktor serta jururawat.

Kata Muhyiddin, langkah mengimbangi nyawa rakyat dan kesan ekonomi terpaksa dilakukan kerana hampir semua sektor ekonomi terpaksa ditutup sehingga menyebabkan negara kerugian RM2.4 bilion sehari semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini kita lakukan kerana kita perlu menyelamatkan setiap nyawa rakyat dan kerajaan telah membelanjakan antara RM7 bilion hingga RM8 bilion untuk selesaikan masalah Covid-19 dan jumlah itu belum lagi termasuk wang untuk pembelian vaksin,” katanya seperti dilapor BERNAMA.com.

Baca artikel berkaitan: Bersatu juga tiada halangan kalau UMNO tidak mahu bekerjasama – Muhyiddin

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perjumpaan Masyarakat Samarahan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan kerajaan telah membuat tempahan vaksin dalam kuantiti yang besar kerana tidak mahu mengambil mudah nyawa rakyat.

Pada masa sama, Muhyiddin turut menyatakan rasa puas hati dengan proses program vaksinasi di Sarawak dan berjanji akan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantar lebih banyak vaksin Covid-19 ke negeri itu.

Meskipun berdepan situasi paling sukar dalam sejarah, Muhyiddin berkata, rakyat terus kekal bersatu.

“Keputsan terpaksa diambil dengan menguatkuasakan PKP supaya rakyat selamat daripada musibah pandemik di seluruh negara. Walaupun kesannya besar tetapi tujuannya (penguatkuasaan PKP ialah) supaya rakyat selamat,” jelas beliau.

Muhyiddin berkata, kerajaan telah mengumumkan pelbagai pakej bantuan bernilai RM300 bilion bagi membantu golongan yang terkesan dan keadaan kini beransur pulih dengan hampir 100 peratus sektor ekonomi sudah dibuka semula kecuali beberapa sektor seperti pelancongan.

“Kita kini bersedia untuk kembali beroperasi seperti asal dan kita boleh nampak cahaya di hujung terowong,” kata Muhyiddin sambil menambah bahawa pentadbiran negara juga perlu kukuh dan tidak diganggu agar kerajaan boleh memberikan sepenuh tumpuan terhadap usaha membantu rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sarawak agar meneruskan sokongan kepada kerajaan Persekutuan sedia ada bagi membolehkannya terus membantu negeri itu mencapai wawasan menjadi sebuah negeri maju pada tahun 2030.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram