bangsa rom terhebat

Bangsa Rom mempunyai beberapa sifat seperti yang disebut oleh Amr bin Ash iaitu bangsa yang paling bijak ketika terjadi huru-hara, bangsa yang paling tabah ketika ditimpa musibah, bangsa yang cepat menyerang semula dalam peperangan setelah lari dan bangsa yang paling baik sikapnya terhadap orang-orang miskin, orang-orang lemah di kalangan mereka, dan orang yang taat, patuh serta hormat kepada raja-rajanya.

Kerana sifat-sifat itu bangsa Rom menjadi bangsa paling ramai sekali di dunia ini.  Di kala dunia dilanda huru-hara yang dahsyat, mereka sabar, tidak bertindak terburu-buru, tidak pemarah, jadi mereka mempunyai kekuatan dan bersatu untuk mengharungi segala fitnah akhir zaman.

Sebab itulah Nabi s.a.w. sebut bangsa Rom itu umatnya ramai kerana kekuatan yang ada pada mereka itu yang menyebabkan mereka mampu bertahan.  Dan, mengapa tidak umat Islam yang Nabi s.a.w. katakan sebagai umat yang paling ramai ketika itu kerana empat ciri tadi tidak ada. 

Sepatutnya umat Islam mempunyai sifat seperti yang dimiliki oleh bangsa Rom. Sebenarnya, mereka jika baik, ia lebih baik dari umat Islam itu sendiri. Banyak yang membantu orang Islam adalah bangsa Rom, ia sudah jelas seperti yang berlaku sekarang ini.

Tambahnya, Shaykh Saalih Aal ash Shaykh menjelaskan kenapa bangsa Rom itu boleh kekal sebagai umat teramai pada hari kiamat nanti.

Penghijrahan besar-besaran bangsa Rom di Eropah

Seperti yang disebut di awal tadi bahawa semua ciri-ciri yang dimiliki itulah yang menyebabkan mereka kekal sebagai bangsa terkuat dan ramai. Kerana apabila berlaku bencana mereka adalah orang yang paling sabar.

Mereka mempunyai kesabaran yang cukup untuk mereka mengharungi dan memperbaiki kehidupan. Setiap kemusnahan yang berlaku mereka cepat belajar bagaimana untuk mengelakkan kemusnahan seterusnya.

Siapa pula bangsa Turk?

Abu Hurairah berkata, dia mendengar Rasulullah bersabda,

“Kiamat tak akan terjadi sebelum kamu sekalian memerangi satu bangsa yang kasut mereka diperbuat daripada bulu dan sebelum kamu memerang bangsa Turk yang bermata kecil, bermuka merah, berhidung pesek, wajah mereka bagaikan perisai yang ditempa.

Dan kamu dapati sebaik-baik manusia ialah orang yang asalnya paling membenci perkara agama ini, namun akhirnya dia memasukinya. Dan manusia itu serupa barang tambang. Orang yang terbaik pada zaman Jahiliah adalah yang terbaik  pada zaman Islam.

Dan pasti datang seorang dari kamu sekalian suatu zaman di mana andaikan dia boleh melihat aku, tentu itu lebih dia sukai daripada memiliki (keluarga dan harta) seperti keluarga dan harta yang telah dimilikinya.” HR Bukhari

Di dalam hadis yang lain pula

Kiamat tidak akan terjadi sebelum kamu sekalian memerangi kaum Hur dan Karman dari bangsa Ajam yang bermuka merah dan berhidung pesek. Wajah mereka bagaikan perisai yang ditempa kasut diperbuat daripada bulu.”

Diberikan juga satu hadis lagi yang menyebut tentang bani Qanthura pula, Rasulullah bersabda,

“Kelak di akhir zaman, Bani Qanthura yang berwajah lebar dan bermata sepet akan datang menyerbu, sehingga mereka mencapai tepian sungai Dajlah. Pada saat itulah penduduk daerah itu akan berpecah menjadi tiga kelompok.

Satu kelompok mengikuti lembu (menuntun binatang mereka) dan menyelamatkan dari pedalaman. Mereka akan binasa. Satu kelompok lainnya memilih menyelamatkan dirinya dengan jalan memilih kekafiran.

Artikel berkaitan: Siri 1: awas berhati-hatilah dengan bangsa Rom

Adapun kelompok terakhir menempatkan keluarganya di belakang punggung mereka dan bertempur melawan musuh. Mereka itulah orang-orang yang akan mati syahid.” – HR Ahmad

Menurut Mohd. Khafidz, kaum yang bermata sepet dan mukanya seperti perisai bundar adalah bangsa Mongol. Semasa zaman kegemilangan empayar Islam di Baghdad, bangsa Mongol itulah yang menghancurkan empayar Islam. Ada juga yang mengatakan bahawa peristiwa itu belum berlaku lagi dan akan berlaku ketika kiamat semakin hampir.

Mungkinkah orang Korea juga menjadi ancaman kepada umat Islam

Manakala bangsa Turk seperti yang disebutkan ciri-cirinya di dalam hadis yang pertama adalah sifat orang Asia seperti Jepun, Korea, Mongolia, Tibet, Rusia dan China. Ciri-ciri pakaian yang Nabi s.a.w. sebut iaitu berpakaian bulu adalah merujuk kepada bangsa Asia yang negaranya mengalami musim sejuk.  

Ia merujuk kepada China di sempadan Rusia dan Mongol yang mempunyai bentuk muka hampir sama. Kalau kita lihat sekarang ini bangsa itu tidak memberi ancaman kepada orang Islam. Namun tidak bermaksud mereka itu menyebelahi Islam.

Setiap sesuatu yang Nabi s.a.w. peringatkan mesti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin juga bangsa itu tidak mengancam dari segi agama tetapi bagaimana pula dengan peluasan kuasa politik. Ia adalah umpama api di dalam sekam, mungkin juga suatu hari nanti akan terlihat taringnya. 

Ibnu Katsir menyebut, bangsa Turk dahulunya adalah sebuah bangsa nomad yang berada sekitar daerah Asia Tenggara, di sebelah utara di sempadan Siberia, sebelah timur bersempadan dengan China, sebelah selatan bersempadan dengan Iran, Afghanistan dan Tibet.

Sedangkan sebelah Barat bersempadan dengan pergunungan Ural (di bahagian barat Rusia). Sekarang ini mereka adalah bangsa Uzbekistan, Turkmanistan, Kazakhstan dan Turki.  Memanglah sekarang ini mereka tidak mendatangkan ancaman  kepada orang Islam. Namun nanti hanya Allah saja yang mengetahuinya.

Hanya yang mendatangkan ancaman adalah di kawasan Chechen dan Azerbaijan yang terus bergolak di mana orang Islam diperangi habis-habisan hingga hari ini. Sekarang ini orang Azerbaijan ini banyak ditindas oleh bukan Islam. Bila sampai masanya nanti, kemungkinan tentera Islam untuk membela mereka barulah ketika itu kita akan bertemu siapa sebenarnya yang akan dilawan.

Bani Qanthura

Manakala bani Qanthura yang berwajah lebar dan bermata sepet adalah dari bangsa Turk. Ulama tafsir menjelaskan, bani Qanthura adalah bangsa Turk akan datang dari Kurasan dan Tarjikistan. Qanthura itu adalah hamba perempuan kepada Nabi Ibrahim.

Dua kuasa besar ini tidak mustahil adalah bangsa yang disebut Baginda s.a.w. dalam hadis beliau mengingatkan tentang ancaman terhadap Muslim.

Daripada Qanthura itulah lahirnya bangsa Turki (Turk) dan Cina. Yang sebenarnya bangsa Turk adalah dari negara Balkan termasuk Rusia. Nabi ada sebut bani Qanthura, bangsa Turk kemudian disebut secara spesifik kabilah Hur dan Karman yang terdiri dari mereka yang tinggal di negara-negara Balkan dan Khurasan (merangkumi bahagian Utara Iran, Iraq hingga  ke Azerbaijan).

Peperangan dengan mereka tidak nampak sangat puncanya kecuali kerana mereka memusuhi dan menindas orang Islam. 

Kesemua bangsa yang disebutkan di atas merupakan bangsa yang akan menjadi musuh kepada umat Islam suatu masa nanti. Mereka ini disebutkan dalam hadis-hadis Baginda s.a.w. sebagai peringatan agar kita lebih berhati-hati. Dan ia juga menjadi tanda-tanda bahawa kiamat akan semakin hampir.

Kerana itulah juga dalam al-Quran Allah telah mengingatkan kita supaya tidak menjadikan orang-orang kafir ini sebagai pemimpin. Maka itu umat Islam dari sekarang perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kepakaran dalam pelbagai bidang agar tidak menjadi umat yang lemah dan mudah ditindas. Wallahu a’lam.

__________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram