Tan Sri Annuar Musa.

KERJASAMA politik yang dimeterai antara UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) didakwa ‘berkecai’ disebabkan pendirian beberapa pemimpin tertinggi yang meletakkan strategi peribadi mengatasi keputusan parti.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa turut mendakwa ‘kerjasama gelap’ yang cuba dijalinkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta komitmen menyokong Presiden PKR itu telah membuatkan UMNO bukan sahaja tidak dipercayai kawan malah diperalatkan lawan.

Annuar malah berkata, satu demi satu berita negatif yang dilaporkan sejak berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2020, Ahad lalu telah menghimpit UMNO secara dalaman mahu pun luaran.

Katanya, tinjauan dalam kalangan rakyat biasa juga jelas tidak berpihak kepada pimpinan UMNO manakala dalaman parti itu juga tidak bertambah kuat.

“Meskipun ada percubaan menyembunyikan perkara itu (kerjasama dengan Anwar), ia tetap di hidu oleh semua.

“Yang pasti dasar ‘No Anwar, No DAP’ yang turut menjadi dasar bersama MN telah dilanggari pemimpin parti yang kini membawa kepada luka dan tercederanya MN,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Muafakat Nasional berakhir, Abdul Hadi ajak semua parti serta PN

Boleh kerjasama tapi ikut konsep kita – kata Hadi kepada UMNO

Pagi tadi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ruangan Minda Presiden mengajak semua kumpulan Islam menyelamatkan negara melalui Perikatan Nasional (PN) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

Ia sekali gus memberi isyarat bahawa hubungan Pas dengan UMNO dalam MN seolah-olah telah berakhir.

Ahli Parlimen Marang itu turut berkata, tujuan Pas bukan sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok kecil sahaja, malah tujuannya adalah menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin.

Abdul Hadi turut memberi bayangan bahawa Pas akan turun ke gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN, bukannya UMNO dalam MN.

Pada masa sama, Annuar turut menegaskan UMNO perlu segera dirawat dengan mencari penawar daripada racun oleh pimpinannya sendiri.

“Nakhoda sendiri sedang menenggelamkan bahtera yang dilayari. Kita belum terlambat. UMNO masih boleh diselamat.

“Buang dendam kesumat. Jangan lagi berkata kesat. Kawan jangan ‘dilipat-lipat’. Jangan angkuh dengan pangkat. Muafakat itu lebih berkat,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram