Muafakat Nasional berakhir, Abdul Hadi ajak semua parti serta PN

0
8201


PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara melalui pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti, sekaligus memberi isyarat bahawa hubungan Pas dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) kini berakhir.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, tujuan Pas bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya adalah untuk menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin.

‘’Maka, jika terdapat mereka yang sempit dan terhad tujuannya itu pasti ditinggalkan. Pas menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal. Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat,’’ katanya.

Kenyataan beliau yang disiarkan melalui ruangan Minda Presiden itu turut memberi bayangan bahawa Pas akan turun ke gelanggang PRU-15 bersama Bersatu dalam PN, bukannya UMNO dalam MN.

BACA JUGA Tidak mungkin Muafakat Nasional dapat diselamatkan

Pada Rabu lalu, hasil pertemuan Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua parti mencapai kata sepakat untuk memperkukuhkan hubungan bagi menghadapi PRU-15.

Langkah itu dilakukan oleh Pas, ketika parti tersebut sedang berhadapan dengan asakan daripada UMNO supaya mereka membuat pilihan sama ada bersama dengan PN atau MN.

Mengulas lanjut Abdul Hadi menegaskan, Pas menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

‘’ Pas menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa. menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.

‘’Marilah bersama tawaran baharu ini iaitu berintegriti dan berkebajkan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa. Marilah sama-sama menolak ekstremisme dan liberalisme yang merungkaikan ikatan agama dan bangsa,”katanya.