Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud

JABATAN Imigresen setakat ini tidak menerima sebarang makluman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung pembabitan anggota jabatan itu dengan geng Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang kini dalam senarai buruan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan PDRM sekiranya terdapat pegawai dan anggota Jabatan Imigresen terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram terbesar dijalankan ‘Geng Nicky’.

“Selalunya, jika ada tangkapan saya akan dimaklumkan dan jika ada yang terlibat kita tidak akan berkompromi.

Baca artikel berkaitan: Datuk Seri Nicky dalam senarai Interpol, penguat kuasa melindunginya akan ditahan – Ayob Khan

“Kita sedia bekerjasama dengan PDRM untuk membantu mereka melengkapkan siasatan,” katanya seperti dilapor BERNAMA selepas menyertai Op Bersepadu di Bukit Puchong awal pagi tadi.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa disyaki mempunyai hubungan dan melindungi kegiatan sindiket jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Kumpulan tersebut diketuai Nicky berusia 33 tahun merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay semalam berkata, polis telah memohon menyenaraikan ahli perniagaan itu ke dalam senarai notis merah Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) bagi mengesannnya jika telah ke luar negara.

Katanya, suspek dipercayai mempunyai rangkaian kerja luas dan mendapat bantuan termasuk daripada pegawai, anggota penguat kuasa dan individu berpengaruh bagi mengambil kesempatan untuk berlindung atau menyusup keluar.

Sementara dalam Op Bersepadu itu, seramai 43 pendatang tanpa izin terdiri daripada 33 warga Indonesia dan 10 warga Bangladesh ditahan dalam serbuan bermula 12 tengah malam tadi di sebuah penempatan haram di sebalik belukar di Bukit Puchong.

Khairul Dzaimee berkata penempatan haram itu dikenal pasti sebagai tempat tinggal bagi pendatang tanpa izin yang bekerja di tapak pembinaan dan kedai makan.

“Pemeriksaan mendapati penempatan ini sudah ada dipercayai antara enam hingga tujuh tahun lepas berdasarkan keadaan rumah, jalan denai dan bekalan elektrik yang dicuri melalui sambungan haram,” katanya menambah ada dalam kalangan penghuni di situ mendakwa tidak mampu membayar sewa dan hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

“Kita akan maklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk memusnahkan penempatan ini bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Menurutnya, kesemua tahanan yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 antaranya tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan memiliki suatu dokumen atau pas yang disyaki palsu.


Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram