Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi. Mengekalkan kesihatan kulit sepanjang bulan puasa sama pentingnya seperti mengamalkan diet sihat sepanjang bulan mulia ini. Tip berikut boleh membantu anda meningkatkan kesihatan dan keserian kulit sepanjang masa.

Hidrat

Minum air dengan secukupnya. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong antara waktu sahur dan berbuka. Elakkan mengambil minuman berkarbonat atau minuman manis seperti soda, jus dan kafien kerana minuman ini membuatkan anda lebih haus. Jika anda tidak suka minum air kosong, boleh ambil infuse water dengan menggabungkan hirisan buah-buahan seperti lemon, timun, pudina, halia, oren , tembikai atau apa sahaja buah yang disukai kerana ia baik untuk sistem imun dan membuang toksin dalam badan, menjadikan anda lebih hidrat sepanjang hari. Lagipun ia tiada kandungan kalori.

Jangan terlebih cuci

Semasa bulan Ramadan, peluang untuk kulit anda lebih kering daripada biasa sangat tinggi. Ia boleh menjadi bertambah buruk di bahagian wajah jika anda terlebih cuci. Jika anda perlu untuk menyejukkan kulit wajah, gunakan spray. Simpan di dalam peti sejuk untuk rasa sensasi dan ia juga amat baik untuk mengelakkan bengkak pada wajah.

Sunblock

Jangan lupa sapu pelindung matahari sepanjang bulan Ramadan kerana kebiasaannya cuaca agak panas ketika bulan ini. Carilah krim pelindung matahari yang mengandungi sekurang-kurangnya SPF30 dan sapukan secara kerap sekiranya anda berada di luar lebih dari tiga jam. Pilih pelindung matahari yang memberi perlindungan sempurna tanpa menutup pori.

Ambil makanan yang membuatkan kulit berseri

Jika anda mahukan kulit berseri dan sihat sepanjang berpuasa, tingkatkan pengambilan makanan yang tinggi dengan fiber dan antioksidan ketika bersahur dan berbuka puasa seperti beri, almond, coklat dan delima. Makanan ini adalah sumber vitamin dan mineral yang baik untuk kulit.

Rawat kulit

Gunakan facemask seminggu sekali dan pastikan merawat wajah dengan kerap bergantung kepada jenis kulit. Ini bagi membantu membersihkan pori wajah yang tersumbat menjadi lebih licin dan berseri.

Melembab

Selepas rutin penjagaan kulit wajah, penting untuk anda melembabkan kulit. Penggunaan pelembab wajah mampu mengatasi kekurangan pengambil air sepanjang hari. Bagi mereka yang mempunyai masalah kulit kering, gunakan pelembab yang tinggi kandungan minyak atau krim manakala bagi mereka yang kulit berminyak boleh gunakan pelembab berasaskan gel.

Suplemen

Jika kulit anda masih kekurangan nutrisi atau vitamin, suplemen khusus untuk kulit adalah penyelesaiannya kerana ia berupaya meningkatkan kesihatan dan keseimbangan kulit. Suplemen yang disarankan untuk kulit sihat adalah vitamin C, E dan A termasuk selenium dan zinc. Ambil dos yang disarankan ketika bersahur dan berpuasa.