Oleh MOHAMAD ASRI

Nampak gayanya UMNO sudah berpatah arang, berkerat rotan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Kedua-dua parti bakal membawa haluan masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. Penceraian ini nampaknya mutlak dan tidak boleh dirujuk lagi.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 sudah meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan memberi mandat kepada Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan bila tarikh menteri dan timbalan menteri UMNO dalam Kabinet akan meletak jawatan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tidak sampai 48 jam selepas UMNO membuat keputusan itu, Bersatu dan Pas mengeluarkan kenyataan bersama untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi pilihan raya.

Kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Bersatu dan Pas, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Takiyuddin Hassan itu menegaskan Bersatu dan Pas bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ bagi menubuhkan kerajaan terutama yang melibatkan PH dan sekutunya.

Perkembangan ini bakal menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di semua kawasan pada PRU-15 nanti.

Pakatan Harapan sudah pasti menjadi parti paling lega apabila melihat tindakan UMNO memutuskan hubungan dengan Bersatu. Gagasan jajaran baharu politik negara yang pernah disebut-sebut oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan disambut dengan tangan terbuka oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi kenyataan.

Ketika pembangkang sudah bersedia dengan segala macam ‘peluru’ untuk menyerang kerajaan PN dan PN pula bersedia dengan perisai rekod perkhidmatan cemerlang kepada rakyat terutama dalam era pandemik Covid-19, apa pula peluru UMNO?

UMNO berada pada kedudukan yang janggal. Bayangkanlah sebelum PRU-15, UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan PN yang terlibat dengan semua dasar, program dan projek untuk rakyat. Bagaimanapun sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, UMNO menjadi pembangkang!

Apa isu yang UMNO ada untuk ditawarkan kepada rakyat atau sekurang-kurangnya untuk menyerang PN? Takkan UMNO mahu menyerang segala dasar, polisi dan program kerajaan yang UMNO sendiri adalah sebahagian daripada pembuat dan pelaksananya.

Adakah UMNO akan menggunakan isu besar seperti pengurusan dan pengendalian pandemik Covid-19 yang menterinya adalah daripada UMNO iaitu Datuk Seri Adham Baba atau mengkritik program imunisasi kebangsaan juga di bawah menteri UMNO iaitu Khairy Jamaluddin.

Atau UMNO dan BN akan menyerang menteri kanan mereka sendiri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hal-hal keselamatan negara sepanjang Perintah kawalan Pergerakan dilaksanakan?

Atau UMNO juga akan mengkritik dasar luar dan hubungan luar Malaysia yang menterinya juga daripada UMNO iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussain? Sebagai rekod sejumlah 14 ahli Parlimen UMNO dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan PN. Kebanyakannya memegang portfolio penting.

UMNO sudah pasti berada pada kedudukan yang ‘serba tak kena’ pada pilihan raya umum kali ini. Kalau parti itu masih ‘mahu menunggang isu hubungan UMNO–Bersatu sehingga membawa kepada penceraian mereka, rakyat sedikit pun tidak tertarik. Isu ini tidak ada kena mengena dengan kehidupan, keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat!

Tidak mustahil juga para pengundi Melayu menghukum UMNO kerana meruntuhkan jambatan perpaduan ummah yang sudah dirintis oleh Bersatu, UMNO dan Pas sebelum ini.

Perlu diingat UMNO bukan sahaja berhadapan dengan PN tetapi juga PH dalam pilihan raya akan datang ini. Walaupun PKR dan DAP sudah dilihat semakin ‘mesra’ dengan UMNO, kedua-dua parti ini tidak akan melepaskan peluang menyerang calon-calon UMNO daripada ‘kluster mahkamah’ sekiranya mereka terpilih untuk bertanding lagi.

Calon-calon daripada ‘kluster mahkamah’ sekali lagi akan menjadi beban kepada UMNO. Mereka akan menjadi punca pengundi turut menolak calon-calon UMNO yang bersih, berintegriti dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

UMNO juga perlu keluar daripada mimpi dan kegemilangan masa lalu. Pada pilihan raya umum yang lalu, UMNO bertanding sebagai kerajaan dengan segala kekuatan jentera dan wang ringgit. Dengan kekuatan sedemikian pun UMNO kalah, kalah teruk di Selangor dan kehilangan kuasa di peringkat pusat dan kerajaaan negeri.

Pada pilihan raya akan datang ini, UMNO akan bertanding sebagai pembangkang sama seperti PKR, DAP dan Amanah. UMNO kali ini bukan lagi UMNO pada 2018 yang ada segala-galanya. UMNO sudah tidak ada kereta kebal dan peluru berpandu lagi. Yang tinggal pada UMNO hanyalah senapang gajah dan peluru kapur barangkali!

*Penulis adalah pemerhati politik.Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.