Mata pelajaran sains bukannya mudah. Bagi pelajar bertubuh kurus lampai itu, memasuki kelas pertama subjek tersebut pada musim persekolahan baru seperti masuk ke neraka. Tidak ada yang lebih buruk daripada itu! Kimia, fizik, biologi, formula, uji kaji, bakteria, virus, molekul… semuanya memeningkan kepala.

Terdapat 35 kerusi di dalam makmal, bagaimanapun 10 daripadanya diletakkan di baris depan dan dikosongkan. Hanya 25 kerusi saja yang diduduki pelajar. Pelajar kurus lampai tersandar di kerusinya, di baris belakang, bosan menunggu kelas yang akan bermula sebentar lagi.

“Jangan ada sesiapa duduk di kerusi-kerusi ni. Ia hanya untuk pelajar-pelajar A. Ingat, pelajar-pelajar A sahaja!” guru sains memberi ingatan sebelum memulakan kelasnya.

Pelajar kurus lampai itu mencebik. Apa dia peduli. Untuk apa difikirkan tentang 10 kerusi kosong dan gred A. Dia benci subjek sains. Dia tidak pernah mendapat B sepanjang persekolahannya. A? Jauh panggang dari api! Siapa berhajatkan kerusi kosong itu, silakan. Dia tidak mengidam langsung.

Minggu berganti bulan, seorang demi seorang pelajar mendapat A dalam ujian bulanan. Guru kelas menyerahkan kepada pelajar-pelajar terlibat untuk memilih kerusi mana yang mereka sukai. Di tengah, kiri atau kanan, terserah. Itu kerusi mereka, pilihlah.

Pelajar-pelajar A megah duduk di kerusi masing-masing dan sentiasa mendapat pujian dan perhatian istimewa daripada guru sains. Sementara itu pelajar bertubuh kurus lampai masih tidak memberi perhatian kepada baki kerusi yang ada hinggalah pada suatu pagi, seorang guru lain datang dan bertanya kepada guru mata pelajaran sains mengenai kerusi-kerusi berkenaan.

“Itu untuk pelajar-pelajar saya yang cerdik, yang ada otak,” kata guru sains sambil menjeling sinis kepada pelajar-pelajarnya.

“Ooo… saya faham, saya faham,” balas rakannya. Dia juga tersenyum dan aduuuuh, isyarat badannya itu cukup menyakitkan hati.

Jelingan dan senyum sinis itu menusuk ke hati kecil pelajar kurus lampai. Dia rasa tercabar. Tidak semena-mena pelajar kurus lampai itu mula terfikir bahawa menjadi pelajar yang sederhana bukanlah sesuatu yang baik. Apa yang hendak dibanggakan dengan gred C dan D? Apa yang hendak dibanggakan?

“Aku mesti dapatkan salah satu daripada kerusi itu. Mesti, mesti!” dia bertekad di dalam hati.

A? Ya, A. Mendapat A dalam subjek sains bukannya perkara mudah. Gred B pun tidak pernah diraih, inikan pula A. Tapi kalau berusaha, tidak mustahil, kan?

Dia memandang kerusi-kerusi yang masih kosong dengan keazaman baru setinggi langit. Sedikit demi sedikit timbul perasaan malu dikelompokkan dalam golongan pelajar sederhana, bukan di kalangan yang cerdik, yang ‘mempunyai otak’.

Usahanya dilipatgandakan. Dia mula menanam minat kepada biologi, kimia, fizik, uji kaji, virus, molekul… dan segala yang terkandung dalam subjek sains.

Akhirnya pada penggal berikut, pelajar kurus lampai itu berjaya mendapat kerusi ‘A’nya! Pelajar tersebut kini menjadi salah seorang pakar motivasi terkenal di dunia. Namanya David P. Schloss.

Pembaca sekalian, kadangkala hanya cabaran dan sindiran saja yang boleh mengajar kita untuk berubah.

_______________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.