kapal melaka
KERJA-KERJA mencari artifak berusia ratusan hingga ribuan tahun dari rangka kapal yang ditemui di Pulau Melaka dan Kota Shahbandar, Melaka. - Gambar portal MELAKA HARI INI

PELBAGAI artifak berusia lebih 500 tahun dari zaman Kesultanan Melayu Melaka kurun ke-15 dan juga barangan dari pemerintahan China seperti Dinasti Song, Ming dan Qing ditemui di sekitar Pulau Melaka dan Kota Shahbandar, Melaka ditemui selepas penemuan struktur kapal karam di kawasan tersebut.

Beratus-ratus duit syiling lama, tembikar dipercayai digunakan pada zaman pemerintahan Melayu Melaka ditemukan, selain pecahan seramik seperti tembikar dan porselin dari zaman Dinasti Ming dan Qing, mata wang Belanda dan Portugis.

Pada penemuan terbaharu itu di tapak Pulau Melaka, ditemui 30 kepingan kayu bersaiz kecil dan sederhana dipercayai rangka dan struktur kapal karam.

Antara artifak penting ditemui di dalam kapal lama itu ialah ratusan kepingan mata wang antaranya dari zaman Kesultanan Melaka iaitu ketika pemerintahan Sultan Mahmud (1488- 1511).

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pihaknya percaya masih terdapat struktur kapal yang tertimbus sekitar kawasan tapak struktur kapal ditemui.

“Saya jangkakan artifak yang kita temui ini amat bernilai dan akan diketahui setelah kita selesai membuat kajian lanjut mengenainya nanti.

BERITA BERKAITAN ‘Melaka Bebas Berniaga’ beri manfaat 2,000 peniaga kecil – KM

“Yang kita temui sekarang ialah struktur depan kapal dan kita yakin akan temui lebih banyak artifak pada bahagian dalam kapal.

“Kerajaan negeri Melaka melalui PERZIM akan meneruskan kerja-kerja dan membuat kajian lanjut tentang penemuan struktur kapal ini.

“Mungkin jika mendapat pembiayaan atau ada inisiatif tajaan swasta kita tempatkan struktur kapal ini di Kompleks Muzium PERZIM Samudera di Klebang untuk tatapan pelawat,” katanya seperti yang dipetik di portal berita Melaka Hari Ini (MHI).

SEBAHAGIAN daripada wang siling lama yan ditemui di Pulau Melaka dan Kota Syahbandar, Melaka. – Gambar MELAKA HARI INI

Beliau berkata demikian kepada wartawan MHI ketika melawat Muzium Terengganu sempena lawatan kerja tiga hari dan pelancaran ‘travel bubble’ Asam di Gunung, Garam di Laut anjuran Bahagian Promosi Pelancongan negeri Melaka.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri Melaka berkata, penemuan artifak itu kemungkinan disebabkan perubahan aras air dan kerja-kerja penambakan laut sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar sejak 2015 sekali gus menyebabkan artifak berkenaan terlihat di permukaan lumpur dan daratan.

“Artifak lain yang dijumpai adalah pecahan dan taburan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Ming dan Qing, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis.

“Manakala di Kota Shahbandar ditemui 27 unit artifak berupa porselin, seramik, tempayan, pendayung dan celadon yang dipercayai dari Dinasti Song (sekitar 960-1279),” katanya lagi.

Muhammad Jailani berkata, kawasan tersebut akan dikawal oleh pihak PERZIM daripada gangguan luar yang boleh merosakkan data arkeologi sekitar penemuan melalui bantuan kawalan keselamatan oleh pihak berkuasa negeri dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram