Sewaktu muda, wanita bernama Chau Smith ini tidak begitu berminat terhadap sukan larian. Malah, dia menganggap sukan itu membosankan.

Tetapi, pada usia menjangkau 70 tahun, siapa sangka dia yang dahulu tidak menyukai larian mampu melakar rekod baru untuk dirinya sendiri.

Bayangkan pada usia tersebut, Chau Smith telah menyempurnakan sebanyak tujuh larian maraton berturut-turut selama tujuh hari. Malah, sepanjang larian itu, dia berjaya merentasi tujuh buah benua sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-70. Bertambah unik, semasa larian itu berlangsung dia mengenakan keseluruhan pakaian berwarna merah jambu. 

Bermula pada 25 Januari hingga 31 Januari 2017, Chau Smith memulakan larian di Perth, Australia. Selepas itu, dia meneruskan larian ke Singapura, Mesir, Amsterdam, Belanda, New York, Amerika Syarikat, Punta Arenas, Chile dan akhir sekali di King George Island, Antartika.

Larian jarak jauh ini merupakan salah satu cabaran dipanggil ‘Triple 7 Quest’ yang dianjurkan oleh Marathon Adventure. Cabaran maraton ini telah disertai sebanyak lapan orang pelari maraton termasuklah Chau Smith.

Wanita ini merupakan peserta tertua yang menyahut cabaran tersebut. Dia berjaya mencipta kejayaan sebagai pelari maraton tertua yang berjaya menghabiskan tujuh larian maraton dalam tempoh tujuh hari.

Apa yang dilakukan Chau Smith sebenarnya di inspirasi sewaktu menempuh cabaran getir pada masa lalu. Sebenarnya, wanita warga emas ini merupakan salah seorang mangsa perang di negara asalnya iaitu Vietnam pada tahun 1947.

Ayahnya telah meninggal dunia sebelum dia dilahirkan. Ketika berusia 13 tahun dan peperangan masih berlangsung, dia turut menghadapi kecederaan serius akibat serpihan bom pada bahagian kaki dan tangan.

Selepas tamat perang, wanita ini mengambil keputusan untuk berhijrah bersama suami pertamanya ke Amerika Syarikat. Bagaimanapun, jodoh tidak panjang dan mereka bercerai. Pada ketika itu, Chau Smith terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk membesarkan dua orang anak perempuannya.

Dia terpaksa melakukan dua kerja bagi menampung kehidupan seharian. Setiap hari, dia perlu bangun pada pukul lima pagi dan pulang lewat malam. 

Pada tahun 1982, dia bertemu dengan seorang lelaki bernama Michael Smith. Mereka melangsungkan perkahwinan enam bulan selepas perkenalan. Suami keduanya ini merupakan seorang pelari maraton dan banyak menyertai kejohanan dalam negara dan antarabangsa. Bagaimanapun, pada masa itu Chau Smith belum meminati sukan tersebut.

Namun segala-galanya berubah bila wanita itu mula menemani suaminya melakukan latihan larian. Dia mula ikut berlari dan sejak melakukan aktiviti tersebut, rasa stres kian berkurang dan tubuhnya jadi lebih bertenaga. Berbanding sebelum ini, dia kerap menghadapi tekanan emosi akibat kesibukan tugasan harian.

Bersama suaminya ketika menyertai sebuah acara larian.

Menurut Chau Smith, dia mula menyertai kejohanan larian maraton buat kali pertama ialah pada tahun 1995. Ketika itu dia berusia 48 tahun dan telah menyertai larian 5 kilometer di Kansas City.

Pada tahun berikutnya, dia mencabar diri dengan menyertai kejohanan larian maraton terkemuka dunia. Antaranya menyertai Boston Maraton pada tahun 2013. Dia hampir menyempurnakan larian itu, tetapi malangnya terpaksa dihentikan atas nasihat pihak polis kerana berlaku kejadian serangan bom.

Peristiwa berkenaan tidak mematahkan semangatnya, malah wanita ini semakin bersemangat menyertai kejohanan maraton lain yang lebih mencabar. Misi ini penting sebelum tiba masa sesuai untuk bersara.

Bergambar kenangan di salah sebuah negara di Amerika Selatan.



 

Pada tahun 2014, wanita ini menyahut satu cabaran yang dianggap paling membanggakan sepanjang menyertai larian tersebut. Dia telah menghantar permohonan untuk menyertai kejohanan larian ‘Triple 7 Quest’.

Sebelum pertandingan berlangsung, warga emas ini melakukan beberapa persediaan dan turut mendapat khidmat nasihat daripada jurulatih berpengalaman, doktor sukan, ahli terapi fizikal dan pakar pemakanan.

Antara tujuh acara maraton yang disertai, Chau Smith mengakui berlari di Cairo, Mesir banyak meninggalkan kenangan manis buat dirinya. Di sana dia turut sempat berlari bersama peserta tempatan.

Uniknya lagi, acara larian di sini memerlukan kepantasan kerana para peserta perlu menghabiskan masa selama enam jam setengah untuk menghabiskan larian mereka. Meskipun sudah berusia, wanita ini berjaya mencatatkan masa selama 5 jam 51 minit. Ia merupakan catatan masa terbaik beliau sepanjang menyertai acara maraton berkenaan.

Ketika larian di Amsterdam, Chau Smith mengalami kemalangan kecil apabila terjatuh. Namun kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan larian sehingga penamat.

Menurut Chau Smith, dia menyertai larian itu sebagai mesej untuk mempertahankan hak wanita di seluruh dunia.

Sebab itu sepanjang menyertai larian maraton, dia mengenakan pakaian berwarna merah jambu. Dan beliau telah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk wanita mampu berlari pada jarak jauh seperti ini.

___________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.