Oleh : ISKANDAR FENANDA

PPBM dan Pas berkemungkinan diihat sebagai dua parti yang kecil, tetapi buat masa ini, mereka mempunyai pengaruh yang besar dan meluas. Kebanyakan orang Melayu mempercayai potensi mereka.

UMNO pula kelihatan seperti orang tua yang berpengalaman dan ada nama besar parti yang pernah berjaya. Tetapi buat masa ini, rakyat meluat dengan tindak tanduk mereka.

Sebab utama UMNO tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 setelah lebih 61 tahun memerintah, adalah kerana rakyat mahu mencuba ‘Satu Kerajaan Yang Baharu’.

Persoalannya, adakah mereka ini, rakyat yang tidak menyokong UMNO dan BN, akan kembali semula menyokong UMNO dan BN pada PRU-15 ? Ini terutamanya selepas kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan membongkar beberapa kes Mahkamah pemimpin UMNO. Ada kes-kes ini masih lagi dibicarakan di mahkamah.

Di satu pihak, kedengaran suara menyatakan bahawa kes-kes di mahkamah ini merupakan kes yang bermotifkan politik dan fitnah. Di satu pihak lagi pula, kedengaran kes-kes ini merupakan kes jenayah rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

Persoalannya, di manakah kekuatan UMNO? Jelas kelihatan, UMNO nampak kurang bertenaga dan masih berada di kedudukan yang lama.

Tidak ada strategi pendekatan yang baru untuk PRU- 15. UMNO masih menggunakan cara lama iaitu bersandarkan sejarah, jasa UMNO dan emosi orang Melayu. UMNO perlu pendekatan dan hala tuju yang baharu, sekiranya mahu parti itu diperkuatkan.

Jika di dalam dunia korporat apabila rugi, kita tukar segala-galanya. Dari pengerusi syarikat, ketua pegawai eksekutif (CEO), pengurusan kanan, model niaga dan pelan syarikat. Kita reset misi kita. Kita jajarkan semula misi kita dan pergi berperang. Kita berperang bersungguh-sungguh. Begitu juga UMNO, parti itu perlukan perubahan yang bersungguh-sungguh, tidak ada cara lain lagi.

Di United Kingdom, sebaik sahaja parti Buruh kalah pada pilihanraya umum,kepimpinan tertinggi parti meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada pemimpin muda mengambil alih dan membawa hala tuju parti yang baharu.

Pemimpin yang terdahulu memberi ruang kepada pemimpin baharu dan muda. Tidak ada soal mahu ‘make a come-back’. Atau jadi ‘back seat driver’. Masa mereka sudah berlalu. Rakyat dan negara sudah memberi satu peluang untuk mereka memerintah negara.

Kerana itulah, di United Kingdom kepimpinan parti Buruh dan Konservatif sering bertukar, sebaik sahaja pilihan raya umum selesai diadakan. Kerana apa ? Kerana mereka sedar, rakyat sudah buat pilihan.

*Kenapa UMNO tolak Bersatu, mampukah menang bertanding secara solo?

Apabila menyentuh soal pilihan raya sudah pasti ada dua persoalan persoalan yang masih berlegar-legar dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu.

Pertama, kenapa UMNO menolak kerjasama dengan parti Bersatu? Apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan jangan tolak Bersatu dan Muafakat Nasional (yang lebih besar) kerana kepentingan peribadi, menyebabkan rakyat bertambah keliru.

Oleh itu pemimpin UMNO harus memberi penjelasan kepada rakyat secara terus terang dan bukannya ‘ada udang di sebalik mi goreng’.

Persoalan kedua, semua parti politik di negara ini memerlukan mandat baharu daripada rakyat dengan segera. Ia bagi membolehkan pemulihan ekonomi dilaksanakan dan kestabilan politik diwujudkan segera.

Namun apa yang menjadi perhatian, adakah dengan bertanding secara bersendirian, UMNO boleh menang besar ?Atau UMNO masih lagi berangan-angan boleh menang besar?

Terkini, MIC pula tidak setuju UMNO dan BN memutuskan hubungan politik dengan PPBM dan kerajaan Perikatan Nasional. Mesti ada alasan logik di sebalik ini semua. Fikir-fikirkanlah..

*Penulis adalah pemerhati politik.Tulisan ini adalah pendangen peirbadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.