lelaki yang dikasihi makhluk

Kisah ini diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. berkata,

Nabi s.a.w. pernah berkhutbah (sambil berdiri) di atas sebatang kurma. Tatkala Baginda telah menjadikannya sebagai mimbar maka tiba-tiba Baginda berpindah ke mimbar lain. Batang kurma itu pun merintih. Maka Nabi s.a.w. mendatanginya sambil menepuk-nepuk tangannya pada batang kurma itu (untuk menenangkannya),”- HR Bukhari.

Ada juga sebuah kisah yang dipetik dari hadis riwayat Muslim, dari Jabir bin Samurah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Sesungguhnya akulah yang paling mengenal batu di Mekah. Batu-batu itu memberi salam kepada ku sebelum aku diutus menjadi Rasul. Kini aku ingat peristiwa itu.”

Sayidina Hassan pernah berkata,

“Wahai kaum Muslimin, bila kayu meratap, menangis kerana rindu ingin dipakai lagi dan bila batu-batu kecil selalu membaca tasbih di tangan Baginda, maka sudah sepatutnya kamu lebih amat merindukan Baginda s.a.w.”

semua makhluk di bumi dan langit mengasihi Baginda s.a.w.

Mengenangkan peristiwa itu, Sayidina Hassan sering tersentuh hatinya kerana sebagai cucu Rasulullah s.a.w, sepatutnya dia lebih cinta dan rindu kepada datuknya melebihi makhluk-makhluk yang tidak bernyawa itu. Maka bercucuranlah air mata kerinduannya.

Apakah rahsianya Rasulullah dikasihi oleh segala makhluk di bumi dan di langit? Hinggakan pohon-pohon dan batu-batu turut mengucapkan salam dan berselawat kepada Baginda s.a.w.?

Persoalan itu dijawab oleh mantan mufti Wilayah Persekutuan merangkap Menteri Agama, Dr. Zulkifli Muhamad al-Bakri dengan ringkas. Menurutnya, Baginda adalah rasul pembawa rahmat kepada seluruh alam.

Benarlah firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Anbiya’: 107

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Kemudian Dr. Zulkifli memetik ungkapan yang dimuatkan di dalam buku Dr. ‘Aid al-Qarni yang bertajuk Rahmatan li al-‘Alamin.

Di dalam buku itu disebutkan, Nabi Muhammad merupakan seorang manusia utusan Allah. Baginda datang untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman.

Baginda datang untuk mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain. Baginda membina satu tamadun baru di antara sekian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.

Katanya, Rasulullah s.a.w. telah mengeluarkan kita dari Semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan dan menjelajahi seluruh pelosok bumi. Inilah syiar Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Rasulullah s.a.w. telah mengeluarkan bangsa Arab dari bangsa jahiliah kepada sebuah tamadun yang hebat

Justeru, mengikuti dan meneladani keperibadian Baginda s.a.w. menjadi satu kemestian. Benarlah firman Allah S.W.T.  di dalam surah al-Azhab: 21,

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”              

Menurut Dr. Zulkifli, hal itu dijelaskan oleh Abu al-Hasan al-Nadwi katanya,

“Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Jika anda telah mencapai umur tua, maka Baginda adalah contoh anda.

Jika anda fakir dan miskin, maka Bagindalah teladan dan contoh bagi anda. Jika anda kaya, maka Bagindalah imam anda. Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda juga turut serta berperang.

Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya. Jika anda reda, maka Baginda pun reda. Dan jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda pun demikian halnya. Wallahu a’lam

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram