SETELAH lima tahun bergerak sebagai artis YouTube, The Cranial kini mula mengorak langkah ke dunia muzik arus perdana dengan single pertama berjudul Pendam.

Keberanian Aiman Sabri sebagai penyanyi, Farez Amirul selaku gitaris dan Haziq Fitrie sebagai pemain bass dalam menghadapi persaingan sengit arus perdana terbina hasil sokongan lebih 50 ribu pengikut saluran YouTube mereka.

Keyakinan ketiga-tiga anak muda dalam lingkungan umur awal 20-an ini diperkuatkan lagi dengan 3.9 juta tontonan yang diberikan oleh peminat mereka kepada lebih 33 nyanyian cover lagu yang mereka dendangkan sebelum ini.

Menurut Aiman yang bertindak sebagai ketua kumpulan, The Cranial memilih genre muzik pop rock sebagai senjata untuk bersaing dalam muzik arus perdana berdasarkan respons yang diberi oleh pengikut mereka.

Katanya, kumpulan itu juga menjadikan kemahiran bermain alat muzik mengikut selera peminat muzik masa kini sebagai bekalan tambahan untuk bersaing dengan pemain industri muzik semasa.

“Sokongan, minat dan maklum balas daripada pengikut kami banyak memberi kekuatan kepada The Cranial untuk mencuba nasib di dalam persekitaran muzik arus perdana.

“Dalam kata lain, penceburan kumpulan itu dalam muzik arus perdana merupakan satu tanda penghargaan The Cranial kepada para penyokong mereka,” katanya.

The Cranial memberanikan diri muncul dalam muzik mainstream

The Cranial merupakan artis pertama di bawah label Sirius Muzik. Kumpulan ini juga pernah berkolabrasi dengan artis-artis tempatan seperti Ariff Bahran, Adzrin, Ahmad Adly dan Shazriq dari Shazz untuk menghasilkan lagu cover yang dimuat naik ke saluran YouTube.

Lagu Pendam mengisahkan tentang kejayaan seorang pemuda dalam menghadapi tekanan akibat kecurangan kekasihnya dengan bantuan rakan-rakan itu boleh didengari di saluran radio-radio tempatan dan juga online streaming seperti Spotify, Apple Music, Soundcloud, TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube.

Manakala muzik video lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube Sirius Music.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi