Usah bandingkan hasil kerja seni dengan perniagaan! – Siti Nurhaliza

0
824
siti nurhaliza

PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegur sikap segelintir individu yang acapkali mempertikaikan cara dirinya bekerja menguruskan perniagaan.

Katanya, teguran itu juga turut ditujukan buat mereka yang menyamar disebalik nama kelab peminatnya, Sitizoners agar menghentikan sikap membandingkan hasil kerja orang lain.

“Assalamualaikum, sekali sekala perlu saya ingatkan Sitizoners yang saya sayangi dan juga yang menyamar di sebalik nama Sitizoners.

“Rasanya tidak perlu untuk banding-bandingkan cara saya bekerja dalam dunia hiburan dan perniagaan sangatlah berbeza…pasukan (team) berbeza,” luahnya di Twitter.

Dedah Siti,42, dia bersyukur kerana memiliki pasukan yang komited sehingga dia mampu bertahan sehingga sekarang berkat usaha bersama.

“Alhamdulillah kerana pasukan Siti Nurhaliza Production (SNP) saya bertahan sampai sekarang dengan cara dan strategi yang kami buat.

“Begitu juga dengan produk saya. Jadi, harap jangan mudah menjatuhkan dan memperlekehkan kerja-kerja insan yang dah bertungkus lumus menjaga reputasi dan kerja-kerja saya.

“Keputusan akhir semua di tangan saya dalam setiap kerja yang dibuat. Terima kasih bagi yang sentiasa memahami.

“Yang baik daripada Allah, yang buruk daripada kita sendiri. Siti Nurhaliza tulis sendiri ni!,” katanya.