8 juta telah daftar terima vaksin, 306,803 lengkap dua dos

0
45

Seramai 306,803 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dos suntikan vaksin mereka setakat 5 April.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, seramai 523,233 individu telah menerima dos pertama.

DR ADHAM BABA

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini sebanyak 830,036.

Menerusi infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor diikuti Sarawak, Perak, Sabah dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor, Perak, Sabah, Kuala Lumpur, Sarawak dan Pahang.

Mengenai jumlah pendaftaran program imunisasi itu, sebanyak 8,000,582 atau 33 peratus direkodkan dalam tempoh sama dengan Selangor mencatatkan angka tertinggi.

Baca artikel berkaitan: Wajib hadir suntik vaksin, elak pembaziran – Khairy

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU) manakala fasa ketiga dijadualkan bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 membabitkan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 13.7 juta orang.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram