Hospital masa depan perlu sedia hadapi pandemik – Dr. Adham Baba

0
37
adham hospital
MUNGKIN hospital negara kita di masa depan juga akan menggunakan khidmat robot seperti yang digunakan di sesetengah negara maju. - Gambar AFP/Getty Images

REKA bentuk fizikal hospital baharu di negara ini pada masa hadapan perlu diubah agar lebih bersesuaian dalam menghadapi situasi yang tidak pernah berlaku seperti pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata lebih-lebih lagi dalam situasi norma baharu ketika ini yang memerlukan penjagaan dari aspek sanitasi, kebersihan diri dan paling penting usaha mengelakkan penyebaran jangkitan dalam hospital.

Datuk Seri Dr Adham Baba menyampaikan ucaptama pada perasmian ‘Future Hospital Strategy and Development Forum 2021’ hari ini. – Gambar BERNAMA.COM

“Untuk COVID-19 dengan adanya reka bentuk baharu untuk hospital termasuk bangunan tinggi yang kita benarkan untuk dibina di Malaysia, kita juga perlu melihat kepada elemen setiap fasiliti perlu wujudkan kawasan di mana suhu boleh dikesan.

“Perkara paling penting juga antaranya kita perlu bilik tekanan negatif supaya tidak berlaku penularan jangkitan dalam kalangan pesakit dan dapat kawal elemen kebersihan dalam hospital termasuk bilik bedah,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada forum Strategi dan Pembangunan 2021: Hospital Masa Depan, di Kuala Lumpur hari ini.

Bernama.com melaporkan dalam ucapannya, Dr Adham berkata kementerian juga telah menerbitkan buku, The Handbook of Technical Design Reference for Disaster Preparedness in Setting Up New High-Rise Hospital untuk membantu pemohon yang mahu membina hospital bertingkat pada masa hadapan.

Ini berikutan pelbagai faktor seperti kenaikan harga tanah, kemampuan dan akses kemudahan perubatan, katanya.

Dalam pada itu Dr Adham berkata hospital dan klinik kerajaan merekodkan jumlah kedatangan pesakit yang tinggi pada tahun lepas apabila mencatatkan 77 juta kedatangan berbanding 17 juta pada 2008.

Jelasnya angka tersebut termasuk mereka yang berulang kali datang ke hospital tersebut dalam tempoh setahun.

BERITA BERKAITAN Setengah juta individu telah terima suntikan dos pertama vaksin – Dr Adham

Beliau turut mengakui peningkatan angka itu turut disumbang faktor kes COVID-19.

Katanya bagi mengelakkan kesesakan di hospital, Kementerian Kesihatan turut mewujudkan Hospital Kluster dan mengoptimakan semula hospital untuk digunakan sepenuhnya bagi menampung kedatangan jumlah pesakit yang banyak.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan, Dr. Adham Baba berkata, Malaysia akan meneruskan penggunaan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis tandatangan Nota Kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Kementerian Pengangkutan hari ini, Dr Adham berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini.

“Penggunaan vaksin AstraZeneca akan diteruskan kerana data klinikal yang didapati masih menjurus kepada kebaikan berbanding kemudaratan,” katanya serta menambah bahawa KKM mengambil maklum elemen kesan ‘adverse’ dan kes membabitkan ‘thrombocytopenia’ yang dilaporkan.

Menurut laporan media, tujuh daripada 30 penerima vaksin jenis AstraZeneca di United Kingdom mengalami masalah pembekuan darah.

Pada 2 April lalu, KKM sudah memberi kelulusan pendaftaran bersyarat kepada vaksin AstraZeneca jenis cecair suntikan yang dibekalkan melalui kemudahan COVAX oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram