akim ahmad search

Pengunduran Amy sebagai vokalis kumpulan rock legenda, Search, Mac tahun lalu, tidak mematahkan semangat band itu untuk meneruskan perjuangan dunia seni.

Terbaharu, band itu bakal membuat persembahan pemanas badan atau ‘warm up showcase’ iaitu Rockology Malaysian Tour 2021 yang bakal berlangsung pada Sabtu ini, pukul 9 malam di Waronk Avenue, Melaka.

Menariknya, persembahan itu menampilkan kolaborasi Search yang diwakili oleh Din (gitar), Kid (gitar), Pae (dram) dan Galang (bassist) bersama penyanyi Akim Ahmad.

Biarpun tanpa kehadiran Amy yang dianggap antara tunjang utama kumpulan itu, namun nama dan legasi Search tidak pernah mati.

Dalam pada itu, ketiadaan Nasir selaku gitar bass Search pada persembahan ini disebabkan kesibukkannya menjalankan perniagaan baharu. Walau bagaimanapun dia hanya akan terbabit pada persembahan akan datang.

Sementara itu, Din yang mewakili Search berkata, dia berharap peminat akan terus menerima kehadiran dan memberikan sokongan pada setiap persembahan membabitkan Search selepas ini.

“Muzik adalah kerjaya dan minat saya. Kami nak pengakhiran yang baik. Jadi, walaupun tanpa Amy, kami akan terus menggerakkan Search. Kami sayang band ini…ke mana saja pergi, orang tanya mengenai Search.

“Jadi, persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim ini bagi mengubat rindu peminat. Persembahan ini sangat penting, kerana ia permulaan buat Search kembali. Harapan saya peminat boleh terima kami walaupun tanpa dua anggota kami iaitu Amy dan Nasir.

“Bagi saya, Amy tak ada ganti. Cuma, saya perlu ‘move on’ untuk teruskan legasi Search. Sebab peminat masih ada dan saya yakin dengan sokongan diberikan selama ini,” katanya.

rockology tour
Tiket konsert sudah mula dijual

Ditanya mengenai pemilihan Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Din berkata pemilihan dibuat bersama pasukan produksi.

“Kami terlebih dahulu buat perbincangan dengan pasukan produksi. Ada beberapa nama yang disenarai pendek. Selepas penilaian, suara ramai memilih Akim. Ini bukan penilaian saya seorang.

“Cuma, kalau ditanya secara peribadi, pilihan pertama saya adalah Akim. Bagi saya, dia ada karisma tersendiri selain kredibiliti dimiliki yang mana dia boleh buat lagu. Pendek kata dia ada pakej. Jadi, beri dia peluang untuk buat persembahan bersama kami. Cuma, jangan bandingkan dengan Amy,” ulasnya.

Sementara itu, Akim berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan bersama band legenda itu.

“Saya terharu dan teruja apabila dipilih untuk bersama-sama menjayakan persembahan ini. Diakui, Search memang idola saya dari dahulu lagi. Apabila dapat menyanyi dan buat persembahan bersama, ia satu penghargaan buat saya.

“Insya-Allah, saya akan cuba berikan yang terbaik. Kepada semua peminat Search jangan lupa saksikan persembahan kami dan tunjukkan tanda sokongan ada buat kami,” tuturnya.

Lokasi persembahan boleh memuatkan 100 penonton dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Tiket dijual pada harga RM100 dan pembeli tiket berpeluang untuk menghadiri sesi ‘meet & greet’ pada pukul 5.30 petang hari yang sama.

Persembahan berdurasi selama sejam itu bakal menyaksikan Search X Akim mempersembahkan seleksi lagu-lagu popular Search yang malar segar.

Difahamkan Rockology Malaysian Tour 2021 bakal diteruskan di beberapa lokasi lain iaitu di Kuala Lumpur (Jun), Perak (Julai), Penang (Ogos), Johor Bahru (September) dan lain-lain lokasi yang akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat.