Replika capal di sebuah surau di Perak yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

BARU-baru ini tular mengenai replika papan kayu berbentuk capal yang menghiasi bahagian mihrab di sebuah surau di Lenggong, Perak.

Malah, timbul polemik hangat dalam media sosial berhubung tindakan pengurusan surau berkenaan sama ada wajar di sisi agama atau sebaliknya.

Isu ini kemudian mengundang siatan pihak berkuasa agama Islam Perak.

Akhirnya, Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNP) menyarankan replika capal itu dialihkan ke suatu ruang yang lebih munasabah dan bersesuaian.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata, pihak surau atau madrasah berkenaan perlu peka dengan persekitaran semasa dan telahan masyarakat awam dengan menutup pintu-pintu fitnah serta menolak perkara yang boleh membawa kepada unsur pemujaan.

“Ini bersesuaian dengan konsep sad al’zariah dengan maksud menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan.

“Dalam masa yang sama, netizen dan orang ramai dinasihatkan agar menjauhi perbuatan melabel sesuatu pihak dengan label yang melampau seperti kafir, fasiq dan sebagainya tanpa melakukan proses tabayyun terlebih dahulu,” kata JMNP.

Kata kenyataan itu, siasatan awal mendapati simbol itu diletakkan di bahagian mihrab setahun yang lalu dan perbuatan itu diakui pihak pengurusan madrasah atau surau berkenaan sebagai hanya sekadar untuk hiasan.

JMNP juga setelah meneliti dengan penuh hemat dan saksama bahawa hasrat mereka yang terlibat adalah untuk menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Namun, perbuatan ini telah menimbulkan pelbagai andaian sehingga pernyataan yang tidak wajar terhadap urusan agama yang suci ini.

Menurut kenyataan itu, isu capal berkenaan mempunyai kaitan dengan tabarruk iaitu mengambil keberkatan terhadap sesuatu yang terkait dengan peninggalan Nabi Muhammad SAW.

Baca artikel berkaitan: 6 tadika di Kelantan dipantau, pemilik pengikut ajaran sesat

“Hukum tabarruk dengan kesan-kesan Nabi memang dibolehkan dalam Islam berdasarkan hadis-hadis yang sahih, tetapi ia adalah kesan langsung dari peninggalan Nabi seperti capal, bekas minuman, rambut Nabi dan sebagainya, adapun replika ia bukan lagi disebut ‘athar al-nabiy’.

“Kecintaan kepada Nabi dan insan yang soleh di sisi Allah boleh dizahirkan dengan pelbagai cara dan pendekatan yang sewajarnya dan hendaklah menjauhi dari membuka ruang kepada perkara yang boleh membawa kepada bid’ah, tahyul, khurafat dan sebagainya yang jauh dari ajaran syarak,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram