Bawal Exclusive tawar tudung paling mewah bertatah Swarovski bernilai RM113,000

0
381

Bawal Exclusive menerusi Crystal World Bawal Exclusive menawarkan seleksi tudung mewah bernilai RM10,000 hingga RM113,000 selaras dengan aspirasi mewujudkan butik tudung paling mewah di dunia bertatahkan kristal Swarovski.

Butik mewah yang bertempat di Puchong itu menelan belanja RM2.5 juta dengan kilauan daripada 100,000 butir batu kristal Swarovski. Menurut pengasas dan pemilik Bawal Exclusive, Haliza Masyuri, impiannya kini menjadi nyata apabila dapat menyediakan khidmat dan layanan kelas pertama buat pelanggan.

Pengarah Pemasaran Bawal Exclusive Sdn Bhd, Haliza Maysuri ketika hadir ke Majlis Pelancaran Crystal World Bawal Exclusive di Puchong, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Sewaktu ke Itali dan melawat beberapa butik mewah, saya terfikir bagaimana satu beg dan kasut boleh terjual dengan harga puluhan ribu, kenapa tidak dengan tudung?

“Saya lihat apa yang dipamerkan di butik itu hanya rangkaian yang biasa, namun saya mahukan sesuatu yang eksklusif dan terhad. Dan saya telah dibawa ke satu ruang yang cukup privasi dan hanya ada beberapa beg yang dipamerkan. Saya hanya duduk dan setiap produk dibawa kepada saya untuk diterangkan perinciannya.

“Dan daripada situ muncul inspirasi untuk membuka butik mewah di Malaysia. Dan untuk menjual tudung bernilai puluhan ribu ringgit, lokasinya mesti sesuai dan di sinilah kami hari ini.

“Butik tudung mewah ini bukan hanya dibina semata-mata untuk dipamerkan kepada umum, malah saya ingin membuktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa sebagai wanita Muslim yang bermula dari bawah juga mampu untuk berjaya,” jelasnya kepada media.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun tertarik melihat tudung bertahtakan batu kristal Swarovski bernilai RM100,000 sambil diperhatikan oleh Pengarah Pemasaran Bawal Exclusive Sdn Bhd, Haliza Maysuri (dua dari kiri) dan Duta Austria, Michael Postl (kanan) ketika hadir ke Majlis Pelancaran Crystal World Bawal Exclusive di Puchong, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Haliza turut menyatakan butik ini hanya menerima tempahan dan harus disertakan dengan bayaran deposit sebanyak 50 peratus daripada harga jualan.

“Untuk datang pembeli harus membuat janji temu dan baru tempahan akan dibuat. Dan setiap tempahan harus disertakan dengan bayaran sebanyak 50 peratus. Kami akan datangkan pereka khas dari Austria untuk reka corak yang dimahukan,” tambahnya lagi.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.