
DEMI menyokong usaha memerangi gejala rasuah, Kumpulan Shapadu mengambil langkah proaktif melafazkan dan menandatangani ikrar bebas rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 200 kakitangan Kumpulan Shapadu itu sekali gus menandakan langkah ke hadapan syarikat korporat berkenaan bagi mengangkat integriti ke tahap tertinggi.
Langkah dilaksanakan Shapadu itu juga bagi memupuk budaya tadbir urus, integriti serta antirasuah kepada bukan sahaja warga kerja, malah pihak berkepentingan selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan pada Januari 2019.
Sesi lafaz ikrar dan menandatangani ikrar bebas rasuah itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Shapadu, Mohd. Amin Abbas.
Ia turut disaksikan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor.

Sebelum lafaz ikrar dan menandatangani ikrar dilaksanakan, SPRM turut mengadakan taklimat bertajuk Memerangi Rasuah Dalam Organisasi oleh Pegawai Pendidikan Masyarakat, S. Jayantha Kumar.
Baca artikel berkaitan: Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu berpotensi jadi pusat rekreasi antarabangsa
Dalam pada itu, Razim turut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Shapadu yang telah secara sukarela melaksanakan lafaz ikrar bagi menolak rasuah.
Katanya, ia juga merupakan sebahagian daripada usaha SPRM bagi memberi pendedahan mengenai peruntukan 17A Akta SPRM melibatkan liabiliti korporat kepada masyarakat.

“Syabas kepada Kumpulan Shapadu kerana telah menjadi organisasi terbaharu menandatangani ikrar bebas rasuah.
“Saya berharap dengan pelaksanaan ikrar ini maka bukan sahaja tiada kakitangan syarikat ini terlibat dalam aktiviti rasuah malah ejen-ejen di bawah Kumpulan Shapadu juga tidak terpengaruh dengan rasuah.
“Ini kita kena jaga dengan sewajarnya kerana walaupun hanya seorang individu melakukannya tetapi syarikat boleh dipertanggungjawabkan,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram